Pecah belah
masyarakat, Wan Azizah gesa kerajaan batal hasrat tubuh tabika elit
October 1, 2020 3:20 PM
Ahli Parlimen Pandan
Wan Azizah Wan Ismail. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan Wan Azizah Wan Ismail
menggesa kerajaan membatalkan hasrat untuk mewujudkan taman bimbingan
kanak-kanak (Tabika) elit kerana ia akan menjurus kepada perpecahan masyarakat.
Dalam kenyataannya, beliau berkata, kewujudan tabika elit akan
melebarkan jurang antara B40 dan T20 dan akhirnya boleh menyebabkan keretakan
perpaduan masyarakat.
“Malaysia seharusnya melangkah ke arah pendemokrasian pendidikan
awal kanak-kanak yang dapat memberikan kesaksamaan pendidikan yang berkualiti,”
kata beliau dalam kenyataan.
Bekas presiden PKR itu juga berkata, berdasarkan Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO), wawasan strategik dalam pendidikan awal kanak-kanak
perlu menitik beratkan kualiti persekitaran yang membina, termasuk pendekatan
hidup dan pendidikan yang melibatkan ibu bapa, penjaga, keluarga dan
masyarakat.
“WHO berpendapat kerajaan dan masyarakat sivil harus bekerjasama
dengan keluarga bagi menyediakan akses yang saksama kepada semua kanak-kanak
kepada persekitaran yang berkualiti lagi membina.
“Tabika elit yang dicadangkan
oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu adalah bertentangan dengan
aspirasi ini dalam pendidikan awal kanak-kanak,” kata beliau.
Pada Selasa, Timbalan Menteri
Pembangunan Luar Bandar I, Abdul Rahman Mohamad berkata, kementerian merancang
untuk menubuhkan tabika elit di bawah Kemas, yang menyasarkan golongan M40
dengan yuran bulanan lebih tinggi daripada tabika biasa.
Satu kertas kerja sedang
dirangka berkaitan inisiatif itu, yang akan melihat penambahbaikan dalam
kemudahan dan modul pembelajaran, katanya.