Kerajaan Perikatan Nasional telah
mengumumkan tiga pakej khas ransangan ekonomi sepanjang tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan.
Bagaimanapun menurut, Ahli Parlimen
Alor Setar, Chan Ming Kai, kesemua peruntukan pakej itu telah habis digunakan
oleh rakyat tetapi ketika ini negara berhadapan gelombang kedua pandemik Covid
19, yang mana mungkin PKP dilaksanakan semula.
Sekiranya PKP tidak dilaksanakan di
seluruh negara sebagaimana bulan Mac lalu, kata Ming Kai, PKP Diperketat akan
melibatkan banyak kawasan kerana jangkitan Covid 19 yang meluas ketika ini.
"Negara amat memerlukan pelan
ransangan ekonomi yang baharu, kalau ini tidak dilakukan dengan segera maka lebih
banyak kilang akan memotong gaji pekerja disebabkan oleh kurang permintaan
untuk barangan yang dihasilkan. Kuasa membeli rakyat juga mengalami kemerosotan
(akibat PKPD)," katanya.
Beliau mengambil contoh ekonomi Kedah
yang terjejas sewaktu beberapa kawasan dikenakan PKPD yang mengakibatkan rakyat
sukar untuk bekerja dan aktiviti jualan runcit terjejas.
Sekiranya tiada pakej ransangan khas,
sekurang-kurangnya untuk kawasan terjejas maka ekonomi rakyat di beberapa
negeri akan merudum akibat pandemik Covid gelombang kedua.
"Dengan kembalinya wabak
Covid-19, rakyat di Kedah misalnya mula mengikat perut. Ramai orang terutamanya
warga emas tidak keluar rumah dan kurang orang makan di restoran ataupun
membeli-belah di kedai. Ini sudah tentu melembabkan ekonomi negeri,"
katanya.
Kerajaan mungkin menggunakan pembentangan Belanjawan 2021 untuk
memasukkan pakej ransangan khas. Namun ia akan mengambil masa sebulan dari
sekarang, sedangkan banyak isi rumah telah terjejas teruk dalam jangka masa
berkenaan.