Mengapa PH lesu, hanya Ezam kempen PRU 15?
MSO
Ada bayangan oleh Muhyiddin Yassin pilihan raya umum ke 15 sudah berada dalam edahnya. Sebelum ini Muhyiddin berjanji kalau GRS menang di Sabah pilihan raya ke 15 akan disegerakan. Memang kemenangan di Sabah itu memberi nilai tambah kepada GRS.
Tetapi kerana merebak semula Pendemik Covid sehingga mencatat angka tertinggi hampir 300 kes dalam sehari dua ini, ia tidak membenarkan untuk Muhyiddin mempercepatkan pilihan raya. Satu segi Covid-19 menyelamatkannya, tetapi dalam masa sama ia menakutkan Muhyiddin bila mana Anwar Ibrahim telah buat pengakuan jumlah sokongan buatnya untuk jadi PM sudah mencukupi, bahkan kerajaan PN telah pun tumbang kerana kehilangan sokongan.
Keperluan pilihan raya dan keperluan untuk mengambil alih kerajaan, saya tidak melihat ianya penting bagi PH pada ketika ini. Yang penting dan utama ialah PH menggerakkan jentera pilihan rayanya dan menguatkan ikatan persefahaman antara parti gabungan.
Setakat ini tidak ada usaha ke arah itu, dimana ia seolah-olah gerakan PH untuk menuju pilihan raya tidak kedengaran langsung. Tidak ada himpunan atau pun aktiviti ke arah persiapan pilihan raya diaturkan. Mesyuarat atau perjumpaan sesama mereka dalam skala besar juga tidak berlaku.
Penerangan isu-isu semasa terutamanya penjelasan implikasi kejatuhan kerajaan PH, isu kelembapan ekonomi kerana bahanan pendemik, kesan buruk kerakusan PN kerana menumbangkan kerajaan PH, analisa pertambahan pengangguran dan lain lainnya tidak dimainkan oleh PH. Semua pihak saya melihat sedang menunggu nafirin kebangkitan semula kerajaan PB dan melihat Anwar menghadap Agong angkat sumpah jadi PM.
Sikap dan tindakan lesu PH ini satu langkah tidak bijak. Yang saya nampak turun ke bawah berjumpa rakyat, menggerakkan rakyat agar mengembalikan kerajaan PH hanya NGO, Gerak 98 yang dipimpin oleh Ezam Mohamad Noor dan beberapa kelompok kecil yang berbuat atas inisiatif sendiri.
Hampir setiap malam Gerak 98 mengadakan programnya berupa dialog dan bual santai bersama penggerak asal reformasi 22 tahun lalu. Gerak 98 juga menjelajah hampir ke seluruh negara dalam membangkitkan semula semangat rakyat untuk membela rakyat dan menentang kezaliman.
Sedihnya dalam program Gerak 98 tidak ramai pemimpin parti PH terbabit, baik daripada DAP, Amanah dan PKR. Mereka seakan masih alergik untuk bersama Ezam. Satu satu wakil rakyat yang rajin tampil bersama Ezam hanya adun Tebing Tinggi Abd Aziz Bari.
Melihat kerajinan Gerak 98 ia seolah-olah bertindak sebagai parti politik pula. Apa yang sedihnya usaha Gerak ini ada yang kurang senang dan ada yang masih mempertikaikan peranan Ezam. Ada NGO Reformasi juga semacam tidak suka dengan Gerak 98, khasnya Ezam. Kenapa?
Khabarnya sehingga sekarang ini permohonan Ezam untuk kembali kepada parti yang diasasnya PKR masih tergantung. Kenapa? Lemau sangat daya politik orang PKR.
Kalau PH hendak menang dan mengembalikan semula kerajaanya sikap pesimis terhadap Ezam itu tidak perlu berlalu. Usaha dan peranan Ezam bersama Gerak 98 tidak patut dipertikai dan diperlekeh sebaliknya perlu disokong.
Kalau mahu PH menang semua pihak perlu move forward dan lupa kisah kisah lampau yang mana kalau kisah lemau itu masih disebut kenang, ibarat kata kata harapan untuk mengembalikan semula kerajaan PH seperti menanam padi pucuk ke bawah akar ke langit lah jawabnya. Trims