Bidang tahfiz bukan lagi kritikal?
Zola
- Kerap benar melintas di dinding FB saya permohonan sumbangan untuk pusat tahfiz. Dengan gaya bahasa rayuan, digambarkan pusat tahfiz berkenaan sedang melahirkan golongan ahli syurga. Membantu mereka akan turut membawa pembantunya beroleh syurga.
- Untuk lebih dramatik, bertujuan mencungkil simpati awam, digambarkan anak-anak syurga itu makan berlauk telor, tempat pengajian tiada kerusi meja, tidur beralas kain atau tikar getah dan sebagainya.
- Pada penghujung episod drama itu, terpacullah soalan, sanggupkah kita membiarkan anak-anak syurga ini begitu? Dimana iman kita kepada kitab Allah? Dimana kecintaan kita kepada Islam? Sanggupkah kita membiarkan masa depan Islam tergadai?
- Ketika saya menjejak kaki ke pusat tahfiz pada awal tahun 1985, bidang ini memang boleh dikategorikan kritikal. Penghafaz al-Quran boleh dihafal nama mereka seorang demi seorang.
- Antara nama yang masyhur ialah Hassan Mahmud (Dato’), Sallehudin Omar (Dato’) dan Zaharuddin Ahmad. Mereka yang saya sebutkan nama di atas adalah pendengar hafalan saya sehingga tamat. Semoga Allah menggandakan pahala untuk mereka. Saya sayang mereka selagi saya berhayat.
- Pengajian saya bahkan rakan-rakan saya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kami ibarat anak emas. Bahkan kami sudah disebut-sebut dengan jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian dipelbagai institusi agama. Dan terbukti, tidak ada seorang pun dalam kalangan kami yang tidak bekerja dengan kerajaan.
- Pada masa yang sama, kerajaan negeri mula menubuhkan pusat tahfiz masing-masing. Bermula detik itulah, pusat tahfiz swasta juga mula tumbuh seperti cendawan selepas hujan oleh pelbagai individu dan badan. Dimana-mana sahaja papan tanda pusat tahfiz terpampang menyambut para peminat untuk menjadi penghafaz al-Quran.
- Kini bidang tahfiz sudah jadi bidang biasa. Puluhan ribu penghafaz al-Quran sudah wujud di negara kita, lelaki dan perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa, orang biasa dan OKU, sehingga jika kita melontar sebiji batu di kawasan pasar malam, batu itu akan terkena orang yang hafal al-Quran.
- Mencecah seribu pusat tahfiz sudah wujud di negara ini (anggaran saya). Jika setiap pusat ada 50 orang pelajar, kita sudah ada 50,000 orang yang hafal al-Quran. Sepatutnya tidak ada masjid yang tidak punya imam hafal al-Quran, bahkan bilal juga sepatutnya hafal al-Quran dengan pusat tahfiz yang wujud ini.
- Justeru, saya berpandangan, kita tidak memerlukan lagi pusat tahfiz yang baru. Bidang ini bukan lagi bidang kritikal. Kita tidak perlu kepada semua rakyat Malaysia hafal al-Quran walaupun saya tidak menafikan kebaikannya. Cuma hal itu mustahil untuk dicapai.
- Keperluan kini ialah, tingkatkan kualiti dan wibawa pusat-pusat tahfiz yang ada. Mana-mana pihak yang tidak berupaya lagi menanggung belanja mengurus pusat tahfiz sehingga mengorbankan keselesaan para pelajar, elok pusat tahfiz berkenaan hentikan saja operasinya. Serap pelajar yang masih berbaki kepada pusat tahfiz yang sudah bagus dan punya masa depan.
- Untuk apa kita berebut-rebut buka pusat tahfiz jika tidak berupaya? Untuk apa kita mahu korbankan masa depan anak-anak orang Islam dan warganegara kita? Kenapa kita hanya nampak bidang tahfiz tetapi tidak bidang-bidang lain yang lebih kritikal?
- Saya fikir, anak-anak OKU lebih memerlukan perhatian kita pada masa ini berbanding memperbanyak pusat tahfiz. Anak-anak autisme, disleksia, masalah pendengaran, penglihatan, anggota tubuh lebih kritikal untuk disantuni berbanding memperbanyak pusat tahfiz.
- Agama dan al-Quran itu indah. Tapi sayang, penganut agama dan pemilik kitab hanya sibuk menghafaz bukan mengaplikasi tuntutan agama dan kitab mereka. Akhirnya, lahirlah ramai penghafal agama yang jahil agama.