Gabungan
Reformis Malaysia (GRM) berharap proses peralihan kuasa di Malaysia berlaku
dengan baik selepas Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong (DYMM YDPA), Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.
Menurut
koordinator GRM, Mustaffa Kamil Ayub, rakyat perlu memberi ruang kepada Agong
seluas-luasnya bagi membuat pertimbangan yang wajar dalam proses yang sedang
berjalan tersebut.
"GRM
menjunjung kasih atas perkenan ke Bawah DYMM Tuanku menerima mengadap Datuk
Seri Anwar pada 13 Oktober 2020. GRM berkeyakinan DYMM Tuanku akan membuat
pertimbangan yang bijaksana dengan dokumen dan bukti yang telah diserahkan oleh
Anwar, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia bahawa beliau mempunyai majoriti
yang kukuh sebagai Perdana Menteri ke 9.
"GRM
berpandangan dengan sesi mengadap serta penyerahan dokumen sokongan itu
menandakan proses peralihan kuasa mengikut lunas Perlembagaan telah pun bermula
dengan lancar dan baik.
"GRM
menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersabar dengan proses yang ada,
termasuklah langkah DYMM YDPA memanggil ketua-ketua parti dalam tempoh
terdekat, meneliti semua dokumen serta budi bicara DYMM YDPA," katanya
dalam satu kenyataan.
Di
samping itu, GRM turut menyeru agar penyokong Pakatan Harapan dan rakyat
Malaysia yang cintakan keadilan agar meneruskan solat hajat dan berdoa supaya
kemelut politik sepanjang 3 minggu itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
"GRM
menyeru seluruh rakyat terus bertenang, memperbanyakkan doa dan solat hajat
agar Allah swt menganugerahkan keselamatan dan kesihatan Kebawah DYMM Tuanku.
"GRM
juga secara khusus meminta para reformis menjunjung tinggi institusi Raja
Berpelembagaan serta menghayati semangat baharu 'Reformis sedia berkhidmat,
Reformis terus berjasa'," katanya lagi.