RAMAI yang melihat Pas sekarang bukan lagi Pas yang mereka
kenali dulu. Pas semasa zaman Yusof Rawa, Datuk Fadzil Nor atau Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat yang begitu komited dengan wadah perjuangan mereka yang antara
lainnya untuk menegak yang haq dan memerangi yang batil atau mungkar. Pas
sekarang sudah banyak bertukar wajah, gaya dan cara. Sehingga ada yang
mengatakan Pas sudah kehilangan ruh dan bentuk asalnya.
Pas di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang
dikelilingi oleh segelintir penasihat-penasihat serta dipagari orang-orang
kuatnya, parti itu sudah kehilangan identiti dan wadah perjuangan asalnya
sekaligus menimbulkan kekeliruan kepada banyak pihak, khususnya kepada ahli dan
penyokong mereka di peringkat akar umbi.
Berikut adalah beberapa contoh keputusan atau pendekatan yang
telah diambil oleh Abdul Hadi yang membuat ramai terpinga-pinga tentang hala
tuju parti itu:
1. Keputusan dan pendirian untuk mendampingi, menerima dan
bersekongkol dengan Datuk Seri Najib Razak dan Umno yang ramai menganggap
sungguh pelik dan mencabar pemikiran yang logik kerana Pas sudah sekian lama
memerangi kemungkaran dan kebatilan yang dilakukan oleh kerajaan Umno/BN.
2. Mereka membuat keputusan untuk berkerjasama dengan Umno
kononnya di atas alasan politik matang yang sejajar dengan prinsip tahaluf
siyasi. Sedangkan umum semua tahu bahawa jurang perbezaan wadah perjuangan asal
Pas dan Umno adalah begitu besar untuk dirungkaikan. Membuat ahli dan penyokong
kedua-dua pihak menjadi keliru dan naik bingung.
3. Berbagai fatwa halal dan haram dikeluarkan untuk memenuhi
agenda ini. Antaranya, satu masa dulu dikeluarkan fatwa bahawa wajib untuk Pas
berkerjasama dengan DAP dalam usaha menentang kemungkaran kerajaan Umno/BN
tetapi apabila sudah tergoda dengan Umno, maka fatwa haram pula dikeluarkan.
4. Tindak tanduk Pas semasa PRU14 pula menimbulkan banyak
tanda-tanya. Pas tiba-tiba bertindak seperti parti yang kaya-raya yang
mempunyai sumber serta dana kewangan yang begitu kukuh apabila memilih untuk
bertanding dalam begitu banyak kawasan Parlimen dan Dun. Abdul Hadi mengatakan
Pas mahu memerintah negara, malah pernah berkata bahawa Pas mahu menjadi
'kingmaker'. Apapun umum melihat ianya tidak lebih sebagai satu strategi untuk
memecah undi dan menyekat kemaraan PH.
5. Pas dan Abdul Hadi gagal untuk bertindak ke atas Naib
Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Datuk Husam Musa, bekas pemimpin Pas yang
mendakwa Abdul Hadi telah dilemah dan dikompromikan oleh Najib dengan berbagai
sogokan termasuk jawatan tinggi dalam Kerajaan Perpaduan dan pemberian wang
yang besar sehingga mencecah RM90 juta.
Ancaman Abdul Hadi untuk mendakwa Rafizi dan Husam yang
melemparkan tuduhan-tuduhan tersebut meleset tidak menjadi dan tinggal sebagai
ancaman kosong sahaja apabila beliau gagal untuk menyaman mereka.
Baru-baru ini Abdul Hadi ada menyebut bahawa ada 'orang tengah'
sedang memujuk Pas untuk menarik balik kes saman ke atas Clare-Rewcastle Brown
dan Sarawak Report di Mahkamah Tinggi London. Kurang jelas apa yang dimaksudkan
oleh Abdul Hadi dengan istilah 'orang tengah' dan 'tarik balik' itu. Pihak
media dan pemerhati politik tanah air sudah mula membuat berbagai andaian dan
spekulasi tentangnya. Antaranya ialah kemungkinan kes saman ini akan
berkesudahan dengan Pas menarik balik saman tersebut dengan alasan-alasan
tertentu.
6. Abdul Hadi juga asyik memperlekehkan Tun Dr Mahathir Mohamad
sebagai orang yang sudah tidak relevan dalam arus politik perdana. Beliau juga
sering menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang kewibawaannya sebagai
pimpinan besar dan mengungkit hal-hal peribadinya. Mengikut beberapa pemerhati
politik negara, apabila menyingkap sejarah hubungan antara kedua-keduanya serta
cetusan beberapa peristiwa di antara dua pemimpin itu, ada yang berpandangan
seolah-olah wujud rasa dendam, cemburu, iri hati dan takut dalam hati dan
sunabari Abdul Hadi terhadap Anwar.
7. Pas membuat keputusan awal untuk tidak bertanding di PRK Port
Dickson. Ada pemimpin atasan yang berkata keputusan itu diambil kerana hendak
memberi laluan mudah kepada Anwar selaku bakal PM . Tetapi Abdul Hadi dan
penasihat-penasihatnya mengubah pendirian dan memutuskan untuk meletakkan
calon, mungkin kerana kecewa dengan Umno dan BN yang membuat keputusan untuk
tidak bertanding.
Politik Abdul Hadi mengelirukan
Dengan kepimpinan Abdul Hadi yang penuh dengan kontradik dan
dianggap sudah menyimpang jauh dari perjuangan asal Pas, maka kita tidak hairan
ataupun terkejut bila Pas berpecah dua dengan terbentuknya parti Amanah oleh
sebahagian pemimpin-pemimpin atasan disebut sebelum ini. Malah anak-anak
pemimpin asal Pas seperti Mujahid Rawa, Faiz Fadzil dan Nik Omar Nik Aziz juga
ikut meninggalkan Pas untuk menyambung perjuangan asal arwah bapa mereka dengan
menyertai Amanah.
Tun Dr Mahathir sering menyebut bahawa politik yang diamalkan
Pas telah membawa perpecahan kepada orang Melayu dan bukannya kerana agama
Islam. Dan katanya lagi bahawa perpecahan akan berterusan selagi Pas
menyalahtafsir dan menyalahgunakan ajaran Islam.
Pemimpin-pemimpin asal Pas seperti Ustaz Ahmad Awang, Mohamad
Sabu, Raja Kamarul Bahrin Ahmad ikut kecewa dan berdukacita dengan tindak
tanduk serta politik Abdul Hadi. Ahli dan penyokong Pas, khususnya di pantai
timur, mereka perlu berani menilai secara objektif dan kritikalnya apakah yang
Abdul Hadi perjuangkan sekarang?
Dan apakah kepimpinan Pas hari ini menepati wadah perjuangan
asal parti atau telah menyimpang jauh? Mereka juga perlu merenungi mengapa
Melayu di pantai barat yang dikira lebih maju sudah tidak menyokong Pas?
Dengan kehidupan moden yang dipacu oleh internet dan dunia yang
lebih terbuka, mereka mempunyai akses yang lebih mudah sekarang untuk mendapat
laporan dan liputan berita tentang keadaan dan realiti semasa melalui
sumber-sumber internet atau media alternatif selain dari sumber saluran parti.
Dengan pengetahuan yang lebih jelas dan lebih mendalam, hati
mereka akan lebih terbuka dan minda lebih kritikal untuk membolehkan mereka
membuat pilihan dan keputusan yang lebih tepat bersandarkan kepada fakta dan
kebenaran.
Pun begitu, penulis masih menaruh harapan agar Pas akan kembali
ke pangkal jalan dengan ruh asalnya untuk menyambung semula apa yang telah
diperjuangkan oleh kepimpinan parti itu sebelum ini. In sha ALLAH.
Wan Haron Wan Hassan,
Penulis Kanan Sinar Harian