Kenyataan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin yang mahu menggunakan rotan kepada individu yang melanggar
tempoh kuarantin dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi
menangani COVID-19 mengundang kritikan pelbagai pihak.
Bukan itu sahaja, Muhyiddin
juga berjanji tidak ada 'double standard' dan akan mengenakan hukuman kepada
sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang tanpa mengira pangkat dan darjat.
Bagaimanapun Ketua Angkatan
Muda KEADILAN, Akmal Nasir tampil menempelak kenyataan Muhyiddin.
"Abah kata nak merotan
rakyat. Apa kata mulakan dekat menteri-menteri abah dulu?Rakyat okay, kamu yang
degil.
"Kerajaan tidak double
standard? Biar betul bah. Lebih tepat menteri-menteri tak ada standard!"
katanya menerusi akaun Twitter miliknya.
Naib Presiden KEADILAN, Dr
Xavier Jayakumar tampil mempersoalkan sama ada Muhyiddin akan menghukum menteri
yang positif COVID-19 seperti Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
dan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad.
"Tidak ada 'double
standard'? Walaupun ada ahli kabinet yang positif COVID-19? Jadi adakah kamu
akan merotan mereka?" soalnya.
Seorang lagi Naib Presiden
KEADILAN, Chang Lih Kang turut mempersoalkan bilakah Muhyiddin akan menghukum
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
yang melanggar tempoh kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki.
"Abah guna rotan? Gunakan
atas ahli jemaah menteri dulu. Menteri yang jelas langgar SOP selepas pulang
dari Turki pun belum didakwa!" katanya.