Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bertarikh 22 Oktober 2020
Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa memuktamadkan semua Prosuder Operasi Standard (SOP) sebelum ianya dikeluarkan tanpa orang ramai perlu menunggu pengumuman kementerian lain sebagai rujukan sebagaimana SOP panduan Bekerja Dari Rumah (BDR) atau Work From Home yang terlalu umum dan sangat mengelirukan.
Arahan yang mengelirukan dan setengah masak ini mengakibatkan ketidakpastian kepada masyarakat terutamanya komuniti perniagaan dan mereka yang berkeluarga. Mereka inilah yang paling terkesan kerana bagi sesebuah perniagaan, setiap hari begitu penting bagi mereka.
Sektor perniagaan sedang menghadapi suasana kelembapan ekonomi dan berpotensi kehilangan lebih banyak peluang akibat ketidaktentuan ini. SOP yang kabur dan mengelirukan ini turut menyukarkan pegawai penguatkuasa menjalankan arahan dan mengakibatkan berlakunya ketidakadilan di kalangan orang awam.
Saya menggesa kerajaan segera menjelaskan kekeliruan ini dan memastikan denda tidak dikenakan kepada sesiapa yang didapati keliru dengan SOP yang dikeluarkan oleh kedua-dua Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob dan Mohamed Azmin Ali. Subsidi juga seharusnya diberikan kepada majikan yang terpaksa membuat ujian Covid-19 untuk pekerja mereka akibat kekeliruan dalam pengumuman Menteri.
Saya juga menggesa Menteri-Menteri yang bertanggungjawab segera belajar untuk menyelaras secara bersama sebelum sesuatu keputusan diambil kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bukan sesuatu yang baharu, malah ianya telah bermula sejak bulan Mac lagi. Saya cuma mahu mengingatkan mereka yang masa untuk berbulan madu telah pun tamat.
Saya juga menggesa Menteri Kanan Pertahanan berhenti mengadakan sidang media hariannya jika beliau tidak mempunyai apa-apa pengumuman substanstif yang dapat membantu rakyat. Sidang media bukan tempat untuk mempromosikan baju atau barang pameran di rak. Ini kerana semakin banyak yang diumumkan, orang awam menjadi semakin keliru. Hentikan kekeliruan, ia akan menghentikan Covid-19! Apa yang paling menakutkan kita ialah sekiranya Covid-19 tidak pun membunuh ekonomi kita, semestinya ketidakcekapan para Menteri akan melakukannya!