Masih terlalu banyak persoalan
yang perlu diperjelaskan bagaimana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi,
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali boleh terlepas daripada menjalani
kuarantin wajib seperti yang tertakluk kepada semua individu yang pulang dari luar
negara, kata Badan Peguam Malaysia.
Ini selepas Jabatan Peguam
Negara (AGC) membuat keputusan bahawa 'no further action' atau tiada tindakan
lanjut akan dibuat terhadap Khairuddin walaupun gagal menjalani kuarantin
selepas pulang dari Turki kerana tidak cukup bukti.
AGC berpendapat Khairuddin
tidak diberikan Borang 14B yang memerlukan Perintah untuk Pengawasan dan
Pemerhatian (Arahan Kuarantin) sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 15
(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Perkara itu membuatkan Presiden
Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir tampil mempersoalkan mengapa Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) tidak memberikan borang tersebut bagi menjalani
kuarantin wajib selama 14 hari.
“Di bawah Seksyen 15 (1),
diperuntukkan yang ‘seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya
mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa
tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh
dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai’.
"Sejak rakyat dibenarkan
masuk dan keluar negara, kerajaan telah memutuskan agar semua orang yang
memasuki Malaysia dari luar negara akan dikenakan perintah kuarantin. Seseorang
individu tidak hanya menjadi orang yang berada di bawah pengawasan (PUS)
setelah menerima salinan Borang 14B, tetapi juga ketika seseorang memasuki
Malaysia dari luar negara.
"Sekiranya Menteri
Khairuddin dikecualikan dari Perintah Kuarantin, pihak berwajib harus
mengemukakan sebab terhadap pengecualian ini, ketiadaan sebab munasabah akan
menyebabkan kes ini berulang pada masa akan datang. Ini sangat penting kerana
masyarakat umum telah diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP)
dan juga kuarantin semasa wabak.
"Oleh itu, Badan Peguam
Malaysia meminta KKM memberikan jawapan mengenai alasan mengapa Borang 14B
tidak diberikan kepada Menteri Khairuddin, dan mengapa dia dibenarkan bergerak
bebas di khalayak ramai setelah kembali dari Turki. Orang ramai berhak
mengetahui alasan pengecualiannya dari perintah kuarantin," katanya dalam
kenyataan.
Pada masa sama, Salim juga
meminta AGC mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak mendakwa Khairuddin.
"Hal ini termaktub dalam
Fasal 8 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa "semua orang sama di hadapan
undang-undang dan berhak mendapat hukuman yang sama".
"Dalam keadaan tidak
menentu akibat wabak itu, para pemimpin negara harus memberi contoh yang baik
kepada warganya. Hal ini berlaku terutama jika seorang menteri sedar bahawa
penyakit seperti Covid-19 mengancam nyawa, dan dia mempunyai kewajipan moral
terhadap kuarantin kendiri.
"Seksyen 269 Kanun
Keseksaan memperuntukkan adalah menjadi kesalahan sebarang perbuatan yang
dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.
“Mungkin Peguam Negara boleh
menggunakan prerogatif Perlembagaan untuk mempertimbangkan semula keputusan
awalnya berdasarkan peruntukan yang disebut di bawah Kanun Keseksaan,"
katanya.