Kenaikan beberapa kaunter tertentu di
Bursa Malaysia sejak kebelakangan ini tidak mempunyai kaitan dengan peribadi
atau gerakan politik Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli
Parlimen Port Dickson itu menafikan beliau memilikki saham dalam
syarikat-syarikat tertentu yang meningkat kedudukannya sejak beberapa hari
lalu.
"Saya difahamkan tersebar khabar
angin di pasaran saham yang mengaitkan nama saya dengan kaunter-kaunter tertentu
di Bursa Malaysia. Ini adalah tidak benar sama sekali.
"Ingin ditegaskan saya tidak
memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Cakap-cakap yang mengaitkan nama saya dengan syarikat tertentu adalah palsu dan
berniat menipu para pembeli saham.
"Saya meminta Bursa Malaysia dan
Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar
pasaran saham tidak dimanipulasi oleh individu tertentu mengaut keuntungan
dengan menyebar khabar palsu," katanya dalam satu kenyataan.
Sejak dua minggu lalu pelbagai pihak
cuba membayangkan kenaikan dan penurunan prestasi Bursa Malaysia dengan
pengumuman Datuk Seri Anwar telah mempunyai majoriti yang cukup untuk
mengambilalih pemerintahan negara.
Khabar-khabar angin juga digunakan
bagi menggambarkan bahawa beliau di belakang syarikat tertentu oleh pihak-pihak
tidak bertanggungjawab.