Usai Pilihan Raya Negeri Sabah timbul
pula masalah lebih besar di dalam gabungan pemerintah.
Dilaporkan pemimpin-pemimpin Umno
semakin tidak berpuas hati dengan tindakan membuli Bersatu terhadap parti itu
yang dianggap keterlaluan sejak penamaan calon dua minggu lalu.
Memanaskan lagi keadaan, Ahli Majlis
Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam memberi tempoh masa seminggu kepada
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar bertindak balas. Sekiranya
gagal, maka kempen mengenepikan Zahid akan digerakkan dalam kalangan ahli Umno
di seluruh negara.
"Tujuh hari dari sekarang, MP-MP
Barisan Nasional kena ambil keputusan. Jangan tunggu lama-lama.
"Hari itu strateginya, kita mahu
menyokong Anwar Ibrahim. Tuanku tak mahu menerima Anwar kerana baginda berada
di IJN. Kita tak boleh buat apa, Tuanku tak sihat, kita kena tunggu Tuanku.
"Tetapi ahli Parlimen BN ada
jalan keluar. Dalam bulan Oktober ini, akan ada sidang parlimen. Inilah masa
sesuai kita kena pastikan, jangan kita sokong Belanjawan yang akan dibentang
oleh Muhyiddin Yassin.
"Inilah masa yang sesuai untuk
kita umumkan supaya kita keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ini
kerana hari ini jelas kerajaan Muhyiddin membuli Umno," katanya dipetik.
Ketidakpuasan hati membuak-buak dalam
kalangan ahli Umno selepas Bersatu enggan membenarkan Pengerusi Perhubungan
Umno Sabah, Bung Moktar Radin dicalonkan sebagai Ketua Menteri. Umno menuntut
kerusi Ketua Menteri selepas mendakwa berkorban melepaskan jawatan Menteri
Besar di Perak dan Kedah, biarpun mereka memiliki kerusi paling banyak.
Di Sabah pula, menurut Lokman,
Umno-BN tidak berupaya menang banyak kerusi kerana rakyat tidak yakin parti itu
akan memerintah kerana meletakkan calon kurang daripada jumlah majoriti untuk
membentuk kerajaan, akibat kerjasama dengan Perikatan Nasional.
“Parti kecil membuli parti besar.
Sampai bila kita hendak membiarkan kita dibuli oleh budak-budak ni. Cukuplah
cukuplah.
“Itu sebabnya kalau Zahid berani
membuat pendirian ini, kita wajar menyokongnya.
“Cukuplah kita menjadi lembu dicucuk
hidung, cukuplah kita dijadikan balaci kepada PPBM. Cukup, cukup, cukup. Enough
is enough,” kata Lokman lagi.
Menurut bekas Pengarah Komunikasi
Kementerian Kewangan era pentadbiran PM Najib Razak itu, Umno perlu kembali
bangkit dan menolak untuk terus diperbodohkan Bersatu. Umno sebuah parti besar
yang masih mempunyai sokongan kuat dalam kalangan orang Melayu.