Pakatan Harapan (PH) tidak akan
berkompromi dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dalam usaha
membentuk semula kerajaan mandat rakyat di Putrajaya.
Menurut kenyataan bersama yang
dikeluarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan, perjuangan untuk mewujudkan
urustadbir yang baik selama dua dekad itu akan diteruskan andainya PH berjaya
mengambilalih Kerajaan Persekutuan dari Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam
masa terdekat.
"Majlis Presiden PH mengadakan
mesyuarat bulanan semalam, yang telah membincangkan beberapa perkara termasuk
keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah, serta usaha di peringkat Persekutuan untuk
mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.
"PH menegaskan, walau apa
sekalipun langkah yang diambil dalam mengembalikan mandat rakyat itu, iltizam
dan komitmen terhadap perjuangan menegakkan keadilan, membanteras amalan rasuah
dan memperbaiki institusi termasuk badan kehakiman tidak boleh
dikompromi," kata Majlis Presiden dalam satu kenyataan.
Selain itu, Majlis Presiden PH turut
mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong segera sembuh setelah menjalani rawatan
di hospital sejak 21 September lalu.
"PH turut mendoakan agar DYMM
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan sembuh dari sebarang masalah
kesihatan dan kekal di bawah lindungan Ilahi," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama tersebut
dikeluarkan oleh Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution
Ismail, Setiausaha Agung AMANAH Datuk Wira Dr Hatta Ramli dan Setiausaha
Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.