Tidak benar 'orang luar' jadi calon KEADILAN Sabah





Laporan media kononnya Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini tidak semestinya dipilih dari kalangan anak tempatan adalah palsu dan fitnah semata-mata.

Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan perkara itu pernah diucapkan ketika majlis Pelancaran Jentera PRN KEADILAN Sabah kelmarin.

"Ingin ditegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim sama sekali tidak pernah menyebut mengenai perkara berkenaan sebaliknya menegaskan pemilihan calon yang akan mewakili parti berkenaan perlu berdasarkan integriti mereka.

"Juga ingin dimaklumkan kenyataan "bukan dari mana" yang disebut Datuk Seri Anwar semasa ucapan bermaksud seseorang calon itu tidak semestinya berasal daerah atau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen yang sama, sebaliknya mereka berpotensi untuk dicalonkan di kawasan lain. Contohnya, sekiranya calon tersebut berasal dari Inanam tidak semestinya beliau akan bertanding di kerusi tersebut," ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, Anwar tegas dalam pendirian akan memberi lebih banyak kebebasan kepada KEADILAN Sabah dalam memilih calon yang sesuai dengan kelayakan dan pengalaman menguruskan kawasan.

"Datuk Seri Anwar mengulangi pendirian bahawa beliau secara dasarnya bersetuju memberikan lebih banyak kebebasan untuk KEADILAN Sabah memilih calon mereka sendiri.

"Pejabat Datuk Seri Anwar berharap agar pihak media lebih bertanggungjawab dengan laporan yang dikeluarkan dan dalam masa yang sama dapat menerbitkan berita yang sahih dan seimbang kepada semua pembaca mereka," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, tular berita bertajuk 'Calon PKR tidak semestinya dari Sabah: Anwar' yang seolah-olah menggambarkan pergolakan dalaman antara KEADILAN Sabah dan Presiden Datuk Seri Anwar dalam isu memutuskan calon.