Laporan media kononnya Presiden
KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata calon parti itu dalam Pilihan Raya
Negeri (PRN) Sabah kali ini tidak semestinya dipilih dari kalangan anak
tempatan adalah palsu dan fitnah semata-mata.
Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari
ini menafikan perkara itu pernah diucapkan ketika majlis Pelancaran Jentera PRN
KEADILAN Sabah kelmarin.
"Ingin ditegaskan Datuk Seri
Anwar Ibrahim sama sekali tidak pernah menyebut mengenai perkara berkenaan
sebaliknya menegaskan pemilihan calon yang akan mewakili parti berkenaan perlu
berdasarkan integriti mereka.
"Juga ingin dimaklumkan
kenyataan "bukan dari mana" yang disebut Datuk Seri Anwar semasa
ucapan bermaksud seseorang calon itu tidak semestinya berasal daerah atau
kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen yang sama, sebaliknya mereka
berpotensi untuk dicalonkan di kawasan lain. Contohnya, sekiranya calon
tersebut berasal dari Inanam tidak semestinya beliau akan bertanding di kerusi
tersebut," ujar kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut, Anwar
tegas dalam pendirian akan memberi lebih banyak kebebasan kepada KEADILAN Sabah
dalam memilih calon yang sesuai dengan kelayakan dan pengalaman menguruskan
kawasan.
"Datuk Seri Anwar mengulangi
pendirian bahawa beliau secara dasarnya bersetuju memberikan lebih banyak
kebebasan untuk KEADILAN Sabah memilih calon mereka sendiri.
"Pejabat Datuk Seri Anwar
berharap agar pihak media lebih bertanggungjawab dengan laporan yang
dikeluarkan dan dalam masa yang sama dapat menerbitkan berita yang sahih dan
seimbang kepada semua pembaca mereka," kata kenyataan itu.
Sebelum ini, tular berita bertajuk
'Calon PKR tidak semestinya dari Sabah: Anwar' yang seolah-olah menggambarkan
pergolakan dalaman antara KEADILAN Sabah dan Presiden Datuk Seri Anwar dalam
isu memutuskan calon.