Barisan Nasional (BN) Sabah menafikan laporan mengatakan parti itu bakal memperoleh 30 kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata laporan itu hanya khabar angin disebarkan pihak tertentu ketika BN dan Perikatan Nasional (PN) serta parti tempatan belum memuktamadkan agihan kerusi ditandingi.
“Apa yang berlaku itu hanya persepsi sebab kita belum buat keputusan muktamad. Yang penting kita kena pastikan rakan kita mendapat (kerusi) yang lebih kurang sebab banyak parti,” katanya ditemui pada pelancaran jentera Puteri UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut BN mendapat 30 kerusi, diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebanyak 20 kerusi.
BN dan PN dijadual mengumumkan senarai calon mereka pada Rabu ini selepas rundingan akhir parti komponen selesai membabitkan BERSATU), MCA, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Jumlah kerusi yang mahu ditandingi tiga parti terbabit setakat ini sebanyak 65 daripada 73 kerusi. Baki lapan kerusi lagi dikatakan akan diagih kepada PBS dan SAPP.
Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebelum ini turut mengesahkan partinya akan bertanding di 15 kerusi.
Sumber: Berita Harian