Oleh Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP
Satu juta rakyat Malaysia yang menganggur menjelang bulan
September memerlukan 3 perlindungan ekonomi berjumlah RM31.4 bilion untuk
menyelamatkan pekerjaan dan mata pencarian. Ia merangkumi bantuan bulanan
RM1,000, pelanjutan moratorium pinjaman bank selama 6 bulan lagi serta insentif
pengambilan pekerja kepada majikan dan pekerja. Dengan kadar pengangguran pada
4.9% bersamaan 773,200 penganggur pada bulan Jun 2020, Menteri Sumber Manusia
Datuk Seri M. Saravanan menyatakan bahawa pada bulan September, jumlah
penganggur di negara ini akan meningkat kepaada satu juta orang.
Saravanan mengaitkan
peningkatan jumlah pengangguran rakyat Malaysia kepada 1 juta, dengan tambahan
350,000 orang siswazah baharu dan 200,000 orang rakyat Malaysia yang kembali
dari luar negara. Satu juta rakyat Malaysia yang menganggur akan menjadi jumlah
yang tertinggi dalam sejarah dan memerlukan tindakan segera oleh Kerajaan
melalui peningkatan pinjaman berjumlah puluhan bilion ringgit.
DAP mencadangkan 3
perlindungan ekonomi berjumlah RM31.4 bilion. Pertama, pelaksanaan serta merta
peningkatan bantuan kebajikan bulanan daripada RM200-300 kepada RM1,000 yang
telah dicadangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumlah RM12
bilion. Ini akan menyediakan jaringan keselamatan serta merta bagi pekerja yang
menganggur.
Kedua, pelanjutan moratorium
pembayaran pinjaman bank selama 6 bulan lagi apabila tamat pada 30 September,
berjumlah RM6.4 bilion yang akan membantu 8 juta individu dan syarikat
Malaysia. Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mengatakan bahawa
jumlah nilai moratorium pinjaman adalah RM78.14 bilion setakat 21 Ogos 2020.
RM27.35 bilion telah dimanfaatkan oleh 300,000 perniagaan manakala RM50.79
bilion telah dimanfaatkan oleh 7.7 juta individu Malaysia.
Ketiga, insentif pengambilan
pekerja di bawah #MalaysiaKerja sebanyak RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300
kepada majikan untuk mendorong majikan mengambil pekerja tempatan seperti yang
dicadangkan oleh PH dalam Belanjawan 2020. Memperluaskan skim ini untuk
menampung 600,000 pekerja Malaysia dan majikan mereka akan menelan belanja
sebanyak RM13 bilion. Insentif ini juga akan membantu lebih dari 500,000 anak
muda yang menganggur, yang merupakan sebahagian besar daripada 4.9% kadar
pengangguran.
Malaysia adalah ekonomi
dengan prestasi terburuk di ASEAN dengan penguncupan KDNK 17.1% pada suku tahun
kedua 2020. Demi menyelamatkan dan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan
ekonomi kita sekarang, fokus kewangan kerajaan harus beralih daripada mengawal
tahap hutang dan defisit fiskal negara, kepada meminjam lebih banyak wang.
Meminjam RM31.4 bilion untuk membantu satu juta rakyat Malaysia yang menganggur
mungkin mahal tetapi diperlukan untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan
mata pencarian rakyat Malaysia.