PENAFIAN DARI PEJABAT DSAI




Pejabat Dato' Seri Anwar Ibrahim ingin menafikan beberapa laporan media tempatan yang menerbitkan berita kononnya calon yang akan mewakili KEADILAN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak semestinya berasal dari Sabah.

Ingin ditegaskan Dato' Seri Anwar Ibrahim sama sekali tidak pernah menyebut mengenai perkara tersebut sebaliknya menegaskan pemilihan calon yang akan mewakili parti berkenaan perlu berdasarkan integriti mereka.

Juga ingin dimaklumkan kenyataan "bukan dari mana" yang disebut Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa dalam ucapan bermaksud seseorang calon itu tidak semestinya berasal daerah atau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen yang sama sebaliknya mereka berpotensi untuk dicalonkan di kawasan lain. Contohnya sekiranya calon tersebut berasal dari Inanam tidak semestinya beliau akan bertanding di kerusi tersebut.

Dato' Seri Anwar Ibrahim turut mengulangi pendirian bahawa beliau secara dasarnya bersetuju memberikan lebih banyak kebebasan untuk KEADILAN Sabah memilih calon mereka sendiri.

Pejabat Dato' Seri Anwar Ibrahim berharap agar pihak media lebih bertanggungjawab dengan laporan yang dikeluarkan dan dalam masa yang sama dapat menerbitkan berita yang sahih dan seimbang kepada semua pembaca mereka.

Terima Kasih.

*PEJABAT DATO' SERI ANWAR IBRAHIM*

7 September 2020