KEADILAN Gombak setia dengan Reformasi, enggan ikut jejak langkah Azmin



Kenyataan Azmin Ali yang menyatakan beliau lebih selesa bersama UMNO dan PAS berbanding bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak akan memberi kesan kepada para pejuang KEADILAN.

Sebaliknya, Ketua Penerangan KEADILAN Gombak, Syed Ali Al-Idrus berpandangan bahawa partinya akan terus menyokong agenda reformasi dan setia dengan Deklarasi Permatang Pauh.

"Kami tetap tegar dan setia mendokong agenda perjuangan Reformasi. Perjuangan ini adalah perjuangan yang panjang dan bukan sekadar terhad kepada menang pilihan raya semata-mata.

"Kesetiaan kami kepada perjuangan Reformasi ini adalah kerana kasihnya kami kepada negara dan demi kesejahteraan hidup anak Malaysia yang merdeka. Kami tidak sama sekali boleh menerima tindakan khianat semata-mata kerana ketamakan mendapatkan kuasa dan terpersona dengan kilauan kekayaan.

"KEADILAN Gombak juga ingin memberikan ketegasan bahawa kami akan terus setia membawa obor Deklarasi Permatang Pauh 1998 yang dicetuskan oleh Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kami akan terus berjuang menjayakan agenda ini biarpun ditekan, diugut, dihina dan diaibkan.

"Sunnah perjuangan tidak pernah menjanjikan hamparan permaidani merah, Malah, sudah menjadi adat bagi mana-mana perjuangan dimana ia akan melahirkan para pengkhianat. Para pengkhianat ini akan sentiasa cuba membakar 'rumah perjuangan' dengan kata-kata fitnah dan tindakan luar tabi'e ke atas perjuangan ini," katanya dalam kenyataan.

Malah, Syed Ali berpendapat kenyataan Azmin tidak mencerminkan situasi sebenar yang dihadapinya ketika ini, terutamanya setelah UMNO Gombak dan PAS Gombak mengeluarkan kenyataan yang terang-terang menolak Azmin khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

"Ringkasnya UMNO dan PAS sepakat menolak sebarang hubungan dengan Azmin. Hubungan secara terang ditolak, hubungan secara sulit juga ditentang oleh mereka.

"Kenyataan beliau umpama pepatah melayu iaitu bagai melukut di tepi gantang atau lebih tepat lagi ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

"Justeru itu, kenyataan arkitek utama 'Langkah Sheraton' itu yang katanya lebih selesa bersama UMNO dan PAS tidak menghadirkan sekelumit kesan pun ke atas perjuangan KEADILAN," katanya.

Pada masa sama, Syed Ali menganggap kekuatan KEADILAN semakin bertambah meskipun Azmin dan penyokongnya keluar dari parti untuk bekerjasama dengan UMNO dan PAS.

"Tatkala beliau sedang berusaha gigih untuk cuba memeluk UMNO dan PAS, KEADILAN pula semakin kuat dan semakin ramai menyertai parti keramat ini.

"Malah, sokongan rakyat ke atas Anwar dan kepimpinan KEADILAN semakin hebat. Di Selangor, kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar sangat disenangi oleh rakyat dan penjawat awam biarpun kerajaan negeri berdepan cubaan sabotaj dan khianat oleh pihak tertentu termasuk isu pencemaran air.

"Kepada semua ahli KEADILAN dan rakyat keseluruhannya, ribuan terima kasih atas sokongan anda semua buat KEADILAN dan Pakatan Harapan. Insya-Allah, dengan kuasa dan kekuatan rakyat, kita akan mencapai kemenangan yang lebih besar.

"Harapan rakyat akan kami akan cuba penuhi sebaiknya dan obor Reformasi akan terus menyala dengan semaraknya dengan berkat sokongan serta doa semua," katanya.