Sejauh manakah erti kemerdekaan, kesaksamaan kaum dihayati?




Perayaan ulang tahun kemerdekaan yang setiap tahun disambut seakan-akan tidak memberi banyak makna kepada rakyat Malaysia. Isu perkauman dan agama sempit masih dimainkan setiap hari seolah-olah negara baru sahaja ditubuhkan dan kaum-kaum masih saling mencurigai antara satu sama lain.

Bagi Profesor Dr Razali Nawawi, rakyat tidak wajar terus melayan prasangka selepas enam dekad.

Katanya, sempena bulan kemerdekaan yang disambut hampir serentak perayaan Maal Hijrah pada tahun ini, seharusnya rakyat melihat suasana keamanan di Madinah pada era pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w diterapkan di Malaysia.

"Dari kajian saya sewaktu Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, Islam merupakan kelompok minioriti, golongan majoriti adalah (suku) Aus dan Khazraj, Yahudi serta puak Khaibar (Kristian).

"Bagaimana rasul dapat meyakinkan seluruh kaum di Madinah bersetuju dengan Perjanjian (Piagam) Madinah? Sedangkan bukan Islam majoriti dan Yahudi menguasai ekonomi?

"Ini kerana Nabi Muhammad seorang insan yang jujur dan iklhlas, justeru itu kabilah-kabilah bersetuju masuk perjanjian. Dalam perjanjian dimasukkan syarat, harta mereka, diri, kehormatan semuanya terjamin. Tiada siapa boleh menzalimi Yahudi. Tak boleh curi sebiji tamar Yahudi, tak boleh maki hamun Yahudi.

"Di Malaysia apakah semangat ini ada dalam Perlembagaan kita? Adakah pemahsyuran kemerdekaan 1957 itu diamalkan?" tanya Dr Razali dalam forum "Erti Hijrah dan Kemerdekaan bagi Reformis serta Umat" anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru ini.

Menurut Razali lagi, timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia adalah akibat kepimpinan negara yang tidak mengamalkan Islam secara syumul. Terdapat hukuman yang berat sebelah dan amalan pemerintahan yang tidak selari dengan ajaran agama Islam.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan menjamin hak-hak setiap kaum namun pemerintah yang menjalankan dasar tidak melaksanakannya secara telus hingga terjadi ketidakpuasahan hati rakyat.

"Perlembagaan kita ada menyebut mengenai kebebasan beragama. Di Madinah pun ada kebebasan beragama. Yahudi amalkan agama Yahudi, turun ayat Quran (mengingatkan) jangan sentuh rumah ibadat Yahudi.

"Sekarang mengapa rakyat tidak puas hati? Semua pihak tak puas hati, yang kaya tak puas hati, miskin tak puas hati. Bangsa-bangsa tak puas hati selepas 63 tahun? Di Madinah selepas 10 tahun semua pihak puas hati.

"Kita ambil contoh, Rasulullah pagi petang pergi suapkan makanan kepada Yahudi tua (buta). Siapa mahu buat macam itu sekarang? Bolehkah mana-mana pemimpin negara pergi suapkan Cina tua? Kalau ada orang yang suap macam itu, orang kata dia dah 'tinggal' Melayu.

"Bagi rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa, tidak kira umur kena lihat sama ada kita sekarang melaksanakan semangat kemerdekaan atau pun kita tidak peduli semangat kemerdekaan. Itu yang penting," katanya lagi.

Dr Razali turut bertanya apakah akan terjadi kepada rakyat Malaysia dalam 50 tahun akan datang sekiranya masalah perkauman yang tidak selesai berterusan menghantui rakyat.

"Cabaran kepada orang muda. Sebab orang muda menghadapi masa depan yang lebih panjang. Apa akan berlaku 50 tahun akan datang kalau 63 tahun ini kita hadapi keadaan begini (berpanjangan). Bagaimana Malaysia akan jadi kelak?" soalnya lagi.

Prof Dr Razali Nawawi merupakan penyokong kuat gerakan Reformasi yang dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1998.

Beliau merupakan Presiden kedua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada pemilihan kepimpinan tahun 1972, yang mana ketika itu Anwar dilantik sebagai Setiausaha Agung.

Forum GRM boleh diikuti di page Facebook Gabungan Reformasi Malaysia pada setiap Rabu, 9.30 malam.