Perayaan ulang tahun kemerdekaan yang
setiap tahun disambut seakan-akan tidak memberi banyak makna kepada rakyat
Malaysia. Isu perkauman dan agama sempit masih dimainkan setiap hari
seolah-olah negara baru sahaja ditubuhkan dan kaum-kaum masih saling mencurigai
antara satu sama lain.
Bagi Profesor Dr Razali Nawawi,
rakyat tidak wajar terus melayan prasangka selepas enam dekad.
Katanya, sempena bulan kemerdekaan
yang disambut hampir serentak perayaan Maal Hijrah pada tahun ini, seharusnya
rakyat melihat suasana keamanan di Madinah pada era pemerintahan Nabi Muhammad
s.a.w diterapkan di Malaysia.
"Dari kajian saya sewaktu
Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, Islam merupakan kelompok minioriti,
golongan majoriti adalah (suku) Aus dan Khazraj, Yahudi serta puak Khaibar
(Kristian).
"Bagaimana rasul dapat
meyakinkan seluruh kaum di Madinah bersetuju dengan Perjanjian (Piagam)
Madinah? Sedangkan bukan Islam majoriti dan Yahudi menguasai ekonomi?
"Ini kerana Nabi Muhammad
seorang insan yang jujur dan iklhlas, justeru itu kabilah-kabilah bersetuju
masuk perjanjian. Dalam perjanjian dimasukkan syarat, harta mereka, diri,
kehormatan semuanya terjamin. Tiada siapa boleh menzalimi Yahudi. Tak boleh
curi sebiji tamar Yahudi, tak boleh maki hamun Yahudi.
"Di Malaysia apakah semangat ini
ada dalam Perlembagaan kita? Adakah pemahsyuran kemerdekaan 1957 itu
diamalkan?" tanya Dr Razali dalam forum "Erti Hijrah dan Kemerdekaan
bagi Reformis serta Umat" anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru
ini.
Menurut Razali lagi, timbul rasa
tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia adalah akibat kepimpinan negara
yang tidak mengamalkan Islam secara syumul. Terdapat hukuman yang berat sebelah
dan amalan pemerintahan yang tidak selari dengan ajaran agama Islam.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan
menjamin hak-hak setiap kaum namun pemerintah yang menjalankan dasar tidak
melaksanakannya secara telus hingga terjadi ketidakpuasahan hati rakyat.
"Perlembagaan kita ada menyebut
mengenai kebebasan beragama. Di Madinah pun ada kebebasan beragama. Yahudi
amalkan agama Yahudi, turun ayat Quran (mengingatkan) jangan sentuh rumah
ibadat Yahudi.
"Sekarang mengapa rakyat tidak
puas hati? Semua pihak tak puas hati, yang kaya tak puas hati, miskin tak puas
hati. Bangsa-bangsa tak puas hati selepas 63 tahun? Di Madinah selepas 10 tahun
semua pihak puas hati.
"Kita ambil contoh, Rasulullah
pagi petang pergi suapkan makanan kepada Yahudi tua (buta). Siapa mahu buat
macam itu sekarang? Bolehkah mana-mana pemimpin negara pergi suapkan Cina tua?
Kalau ada orang yang suap macam itu, orang kata dia dah 'tinggal' Melayu.
"Bagi rakyat Malaysia tidak kira
apa bangsa, tidak kira umur kena lihat sama ada kita sekarang melaksanakan
semangat kemerdekaan atau pun kita tidak peduli semangat kemerdekaan. Itu yang
penting," katanya lagi.
Dr Razali turut bertanya apakah akan
terjadi kepada rakyat Malaysia dalam 50 tahun akan datang sekiranya masalah
perkauman yang tidak selesai berterusan menghantui rakyat.
"Cabaran kepada orang muda.
Sebab orang muda menghadapi masa depan yang lebih panjang. Apa akan berlaku 50
tahun akan datang kalau 63 tahun ini kita hadapi keadaan begini (berpanjangan).
Bagaimana Malaysia akan jadi kelak?" soalnya lagi.
Prof Dr Razali Nawawi merupakan
penyokong kuat gerakan Reformasi yang dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim
sejak 1998.
Beliau merupakan Presiden kedua
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada pemilihan kepimpinan tahun 1972, yang
mana ketika itu Anwar dilantik sebagai Setiausaha Agung.
Forum GRM boleh diikuti di page
Facebook Gabungan Reformasi Malaysia pada setiap Rabu, 9.30 malam.