KES COVID-19 DI MALAYSIA,
PESANAN DARI KKM...
Dalam perjuangan Negara kita memerangi virus COVID-19, kepatuhan
kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan amalan kebiasaan serta normal baharu
terbukti berkesan dalam mengawal dan mengekang penularan jangkitan COVID-19 di
negara. Ini dapat dilihat sejak lonjakan kes pada permulaan bulan Mac 2020
sehingga ke penurunan kes kepada satu digit pada awal bulan Jun 2020.
Walaupun vaksin bagi COVID-19 masih belum lengkap dibangun dan
diuji, namun kaedah-kaedah pencegahan jangkitan dan kawalan kesihatan awam yang
telah digunapakai seperti penjarakan fizikal (physical distancing), pemakaian
alat pelitup muka (facemask) serta amalan kebersihan tangan yang kerap telah
bertindak sebagai sistem pertahanan bagi setiap individu, keluarga dan
masyarakat dalam menentang virus COVID-19.
KKM ingin terus mengingatkan masyarakat bahawa perkara ini perlu
terus dilaksanakan pada setiap waktu dan tempat, agar ianya terus menjadi
kebiasaan dan kebudayaan baharu. Sekiranya masyarakat leka, ianya akan membawa
kepada kegagalan. Virus COVID-19 akan kembali merebak, kes harian dan kes di
hospital dan ICU akan kembali menaik.
Lebih teruk lagi, kematian akibat COVID-19 akan meningkat
seperti yang dilihat di banyak negara luar.
Mencegah penularan COVID-19 adalah tanggungjawab kita bersama.
Ayuh, bersama-samalah kita galas tanggungjawab ini dan pastikan kita menang
dalam memerangi musuh yang tidak dapat dilihat ini.
**************************