Meskipun pengkhiantan dua ADUN
KEADILAN menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah tumbang pada bulan
Ramadan lalu namun perkara itu sebenarnya tidak menjejaskan kekuatan gabungan
tersebut pada masa hadapan.
Hal itu ditegaskan oleh Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah, Datuk Johari Abdul.
Menurut Johari, kerajaan Perikatan
Nasional (PN) di Kedah akan mempunyai masalah untuk menghadapi pilihan raya
akan datang dari segi keutuhan gabungan. Timbul persoalan, apakah PN sebuah
pakatan yang padu atau adakah kerjasama itu tidak mempunyai masalah dengan
masuknya puak kartel ke dalam Bersatu? Semua itu, katanya, akan terjawab
menjelang Pilihan Raya Negeri dua tahun akan datang.
"Saya tak tahu adakah Muafakat
Nasional atau PN akan bertanding satu lambang. Adakah penyatuan mereka itu
jitu. Kerjasama dengan Bersatu adakah real, kemasukan
Azmin adakah real?
"Macam-macam hal dan masa hanya
ada dua tahun. Adakah dalam dua tahun ini semua itu dapat diselesaikan?
"Di peringkat PH pula kita solid tak ada masalah kerana KEADILAN dikenali dan
telah berusia 22 tahun, api reformasi juga masih menyala di Kedah. Kedua, DAP
juga lama di Kedah. Amanah walaupun parti baru tetapi orang kenal sebab
personaliti dalam Amanah itu orang Pas yang dihormati.
"Jadi saya rasa kombinasi antara
KEADILAN dengan komponen PH dan penonjolan anak-anak muda dikira mantap. Saya
sendiri yang membawa (obor) KEADILAN di Kedah selama tiga penggal sebagai Ahli
Parlimen dan sepenggal menjadi ADUN. Adunan ini membuat kita solid di di negeri ini," katanya kepada Suara
Keadilan.
Kata Johari lagi, Kedah merupakan
negeri yang unik kerana kerajaannya silih berganti. Pernah diperintah BN,
kemudian Pakatan Rakyat pada 2008 hingga 2013 dan hari ini PN.
Tidak mustahil, menurutnya, rakyat
akan memilih PH kembali pada pilihan raya akan datang berdasarkan rekod
perkhidmatan yang cemerlang.
"Kedah unik seperti Kelantan,
Sabah dan yang lain. Di mana orang Kedah tidak bergantung kepada parti
pemerintah.
"Orang Kedah asasnya pertanian
dan padi. Keputusan-keputusan yang mereka buat lebih kepada rasional dan
kekuatan pemikiran pengundi, khususnya petani.
"Di sini parti bagi mereka tidak
penting tetapi wakil rakyat yang penting. Kamu boleh datang lambang mana pun
tetapi mereka nak tengok siapa wakil rakyat yang service mereka.
"Oleh itu, sebagai pengerusi
KEADILAN Kedah saya rasakan yang penting sekali ialah calon-calon kita mesti
bekerja. Sebab rakyat nak tengok siapa kamu.
"Saya lihat apa yang akan
berlaku di Kedah ialah rakyat nak tahu siapa yang bertanding (orang yang buat
kerja) dan atas tiket apa," katanya lagi.
Politik Kedah mungkin kelihatan
tenang kerana rakyat tidak menunjukkan kemarahan ketika kerajaan 'tebuk atap'
PN mengambil alih. Namun harus diingat Pas sebelum ini yang menerajui Kedah
tidak pernah memerintah lebih sepenggal kerana kelemahan mereka mencari
pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Rakyat menolak Pas pada Pilihan Raya
Umum ke 13 kerana kerajaan negeri terlalu bergantung kepada hasil bumi seperti
mineral dan balak. Apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengambil alih
pemerintahan, pelaburan langsung asing mencurah-curah masuk.
Dalam pilihan raya akan datang faktor berkenaan juga akan
diambil kira sebelum rakyat keluar mengundi memilih kerajaan.