Reformasi tidak mati, bergerak ke arah reformis berjasa
Ungkapan kononnya Reformasi telah mati atau tidak relevan adalah tidak benar.
Koordinator Gabungan Reformis Malaysia (GRM) Mustaffa Kamil Ayub berkata, reformasi merupakan satu gerakan pembaikan berterusan dan bukan hanya memperjuangkan isu selingkar Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.
“Bila kita ungkapkan reformasi, islah itu bukan kepada individu tetapi pembaharuan iaitu kebaikan yang berterusan.
“Sebenarnya reformasi tetap relevan dan ia mata rantai perjuangan sejak zaman Rasullullah s.a.w. Lebih awal daripada itu nabi Syuib dengan perubahan yang dibawanya, nabi Isa, Musa dan nabi Muhammad. Perubahan yang dibawa, ‘riddu islah, illal islah mas tatak tum’.
“Maknanya islah itu berterusan. Bukan pada individu sahaja. Ia proses pembaikan terus-menerus sama ada individu, ekonomi, pendidikan, budaya dan seumpamanya.
“Memang ada percubaan mengatakan Reformasi untuk Anwar Ibrahim. Memang beliau ikon penting. Beliau pembawa idealisme Reformasi. Tetapi Reformasi bukanlah perjuangan batang tubuh beliau.
“Sebaliknya idealisme yang kita bawa. Mata rantai perjuangan terdahulu. Perjuangan moden seperti Nelson Mandela, Martin Luther King, Mahadma Gandhi, Burhanuddin al Helmy dan lain-lain yang ada sepanjang perjalanan sejarah,” katanya dalam forum perdana anjuran GRM baru-baru ini.
Menurut Mustaffa, sejak deklarasi Permatang Pauh pada 5 September 1998 lagi telah digariskan tujuan utama Reformasi iaitu untuk memperjuangkan karamah insaniah (maruah manusia), soal pendidikan, mendaulatkan hukum, keadilan ekonomi, membanteras rasuah, salah guna kuasa, jati diri dan budaya serta globalisasi berteraskan keadilan.
Beliau turut menolak dakwaan Reformasi hanya relevan apabila wujud gerakan jalan raya, tunjuk perasaan dan sebagainya.
“Betul waktu itu kita terpaksa (berdemonstrasi). Tetapi hari ini ia berkembang di pelbagai sektor yang menyerap masuk ke dalam sistem. Reformis hari ini bergerak ke arah reformis berkhidmat atau reformis berjasa. Ini yang kita mahukan, bagaimana kita membantu masyarakat yang berdepan Covid 19, pengangguran, kemiskinan dan seumpamanya.
“Saya kira ini fasa baru yang sedang digerakkan reformis. Jangan dipesongkan Reformasi hanya untuk Anwar tetapi ia untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Untuk rekod, GRM sedang mengusahakan pergabungan NGO-NGO pengerak awal reformasi dan NGO pro-rakyat lainnya untuk menjadi tenaga baharu memperbaiki demokrasi Malaysia yang semakin suram sejak kerajaan ‘tebuk atap’ Perikatan Nasional berkuasa secara mengenepikan mandat rakyat pada Mac 2020 lalu.