Saya berada di dalam Dewan Rakyat pada 18hb Ogos 2020 ketika
Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok mendedahkan bahawa Datuk Dr Mohd
Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah
datang ke Parlimen pada 13 Julai 2020 lalu ketika sepatutnya beliau menjalani
kurantin 14 hari di rumah kerana baru pulang ke tanahair dari Turki pada 7hb
Julai 2020.
2. Saya rasa terperanjat dan terkejut dengan pendedahan itu.
Saya menunggu penjelasan dari Menteri berkenaan. Saya tunggu penafian darinya.
Tidak ada. Yang ada hanya satu kenyataan darinya yang menyebut semua pihak
perlu tunggu kenyataan rasmi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).Satu
dakwaan yang serius telah dibuat ke atas batang tubuh Menteri berkenaan oleh
bekas Menteri dari kementerian yang sama.YB Dr Khairuddin mesti menjawab
tuduhan itu. Sama ada mengakui atau menafikannya.Tidak patut pihak ketiga (KKM)
dibebani tugas untuk menjawab bagi pihaknya.KKM mempunyai banyak tugas lain
yang lebih penting untuk menyelamatkan nyawa rakyat daripada untuk
menyelamatkan nama dan kedudukan seorang menteri.
3.Saya masih menunggu penafian daripada Menteri berkenaan
terhadap dakwaan dari Teresa Kok itu. Sebagai seorang ahli parlimen dan peguam
saya tidak mahu terburu-buru membuat dakwaan yang sama ke atas Menteri
berkenaan. Sehingga hari ini 21 Ogos 2020 di mana kenyataan ini ditulis saya
masih belum lagi melihat penafian daripada Menteri berkenaan.Jika tiada
penafian dilakukan maka di dalam amalan perundangan, maka dakwaan yang dibuat
oleh ahli Parlimen Seputeh itu adalah benar.
4. Saya ulangi. Jika tiada penafian dari Menteri berkenaan maka
saya beranggapan dakwaan YB Teresa Kok itu adalah benar. Jika demikian halnya,
maka apakah pendirian saya sebagai seorang ahli Parlimen?
5. Saya percaya negara kita Malaysia walau buruk macam manapun
keadaannya, ia masih sebuah negara yang ada undang-undang dan berjalan di atas
landasan kedaulatan undang-undang (rule of law) dan juga keluhuran
Perlembagaan. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan soal
kesamarataan iaitu setiap warganegara Malaysia adalah sama rata dan sama taraf
dari segi undang-undang.
6. Jika seorang warganegara kita, seorang perempuan yang
dikenali dengan gelang palstik warna pink atau merah jambu melanggar perintah
kuarantin di rumah lalu didakwa dan dihukum di mahkamah; begitu juga seorang
pemilik kedai yang baru pulang dari luar negara dari kluster Sivagangga
didapati melanggar SOP kerana melanggar perintah kuarantin, dan kedua-dua
warganegara ini didakwa dan dihukum di mahkamah dengan hukuman denda dan
penjara, maka demi keadilan yang sama dalam semangat kesamarataan di bawah
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, maka saya menuntut Menteri berkenaan juga
perlu melalui proses undang-undang yang sama.
7.Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang
dikurniakan pingat dan anugerah kerana perkhidmatan KKM yang cemerlang di bawah
kepimpinannya akan menjadi pudar dan tercela sekiranya KKM tidak bertindak
tegas dalam menangani kes menteri berkenaan yang melanggar SOP Kuarantin.
8.Menteri Kanan bagi Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
akan dilihat berat sebelah dan menjalani sistem keadilan dua darjat antara
kesalahan rakyat biasa dan VIP bertaraf menteri jika beliau mengambil sikap
berdiam diri terhadap perlakuan melanggar SOP oleh rakan menterinya sendiri
dalam kerajaan persekutuan.
9.Begitu juga pihak Polis Diraja Malaysia PDRM perlulah segera
membuka kertas siasatan sekiranya telah ada aduan polis dibuat ke atas Menteri
berkenaan. Menteri tersebut perlu dipanggil untuk siasatan dan tindakaan
selanjutnya perlulah segera dikemukakan kepada Pendakwa Raya untuk tindakan
pendakwaan. Rakyat sedang memerhati sekarang setiap institusi yang terlibat.
10. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh alpa
dan melakukan omisssion kerana tidak bertindak. Menteri berkenaan yang pulang
dari Turki pada 7hb Julai dan datang ke Parlimen pada 13 Julai telah
meletakkaan risiko dan bahaya seluruh jemaah menteri kerajaan persekutuan, para
backbencher kerajaan, ahli-ahli parlimen pembangkang, speaker dan para pegawai
parlimen kepada bahaya jangkitan Covid-19 dan menjurus kepada risiko wujudnya
satu kluster baru iaitu kluster Parlimen.Tidakkah ini satu risiko yang amat
besar dan parah.Sebuah kerajaan akan runtuh bukan kerana hilang undi
kepercayaan tetapi kerana seluruh anggota kerajaannya dijangkiti dengan
Covid-19. Nahas yang bahaya itu tidak berlaku bukan bermakna Menteri berkenaan
terlepas dari kesalahan.
11. Perdana Menteri wajar membuat keputusan memecat Menteri
berkenaan atas kesalahaan tidak menghormati prinsip kebertanggunjawaban bersama
para menteri (collective responsibility). Menteri tersebut telah melanggar
keputusan kerajaan yaang dianggotainya dengan melanggar SOP yang telah
diputusakan. Beliau patut dipecat dari jawatannya kerana ingkar terhadap
Perintah SOP. Sedangkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Permaisuri
Agong, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin semuanya akur dengan SOP dan kesemuanya pernah dengan patuhnya
menjalani Perintah Kuarantin di Istana Negara dan di kediaman masing-masing,
tetapi mengapakah Menteri berkenaan tidak mengikuti contoh yang sama sebagai
pemimpin, sebaliknya ke sana ke mari membahayakan keselamatan dan kesihatan
orang awam dengan melanggar Perintah Kuarantin?
12.Tetapi adalah terlebih baik dan mulia serta berintegriti
sekiranya Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi tersebut memikul
tanggungjawabnya. Beliau patut berdiri sebagai seorang lelaki dan sebagai
seorang menteri mengaku bersalah, meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia
dan meletakkan jawatannya secara terhormat.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
21hb Ogos 2020