Pelanggaran
Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) oleh
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman
Razali perlu diambil tindakan tegas dan tanpa pilih kasih
Ahli
Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, kegagalan Kerajaan Perikatan
Nasional (PN) mengambil tindakan ke atas menteri berkenaan akan memberi teladan
buruk dan mewujudkan dwistandard hukuman di Malaysia.
Katanya,
sehingga 21 Ogos, Khairuddin masih belum menafikan dakwaan Ahli Parlimen
Seputeh, Teresa Kok berkenaan lawatannya ke negara Turki yang sedang serius
dilanda wabak Covid 19 serta keengganannya melakukan kuarantin di rumah selama
14 hari serta hadir di Parlimen pada 13 Julai lalu sebelum tempoh dua minggu
berakhir, amat memalukan kabinet Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin.
"Jika
seorang perempuan yang dikenali dengan gelang palstik warna pink atau merah
jambu melanggar perintah kuarantin dan didakwa serta dihukum di mahkamah;
begitu juga seorang pemilik kedai yang pulang dari luar negara dari kluster
Sivagangga didapati melanggar SOP kerana melanggar perintah kuarantin,
kedua-dua mereka didakwa dan dihukum di mahkamah dengan denda dan penjara, maka
demi keadilan yang sama di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, saya
menuntut menteri berkenaan melalui proses undang-undang yang sama.
"Ketua
Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dikurniakan pingat
kerana perkhidmatan KKM yang cemerlang baru-baru ini akan menjadi pudar
sekiranya KKM tidak bertindak menangani kes berkenaan.
"Begitu
juga Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri akan dilihat berat
sebelah antara kesalahan dilakukan rakyat biasa dan VIP bertaraf menteri jika
beliau berdiam diri
"Polis
Diraja Malaysia PDRM juga perlu membuka kertas siasatan sekiranya telah ada
aduan dibuat. Menteri tersebut perlu dipanggil, disiasat dan tindakan
selanjutnya perlulah dikemukakan kepada Pendakwa Raya untuk pendakwaan,"
katanya dalam satu kenyataan.
Menurut
Hassan lagi, PM Muhyiddin yang dimalukan oleh menteri dari parti Islam itu
wajar mengambil tindakan keras, termasuk memecat Khairuddin sebagai pengajaran
kepada menteri-menteri kabinet yang lain.
"PM Tan
Sri Muhyiddin dalam hal ini tidak boleh alpa. Menteri berkenaan pulang dari
Turki pada 7 Julai dan datang ke Parlimen pada 13 Julai meletakkan risiko ke
atas seluruh jemaah menteri kerajaan persekutuan, para backbencher, ahli-ahli
parlimen pembangkang dan para pegawai parlimen, menjurus kepada risiko wujudnya
satu kluster baru iaitu kluster Parlimen.
"Tidakkah
ini satu risiko yang amat besar dan parah. Sebuah kerajaan akan runtuh bukan
kerana hilang undi kepercayaan tetapi kerana seluruh anggota kerajaannya
dijangkiti dengan Covid-19.
"PM
wajar membuat keputusan memecat menteri berkenaan atas kesalahaan tidak
menghormati prinsip kebertanggunjawaban bersama para menteri (collective
responsibility).
"Menteri
tersebut melanggar SOP yang telah diputuskan. Sedangkan Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong, Permaisuri Agong, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semuanya akur dengan SOP dan
kesemuanya pernah menjalani Perintah
Kuarantin di Istana Negara dan di kediaman masing-masing, mengapakah menteri
berkenaan tidak mengikuti contoh yang sama sebagai pemimpin?" soalnya.
Bagi Hassan,
sekiranya Khairuddin seorang yang berintegriti maka amat wajar beliau
meletakkan jawatan sebagai menteri sebagaimana diamalkan di negara-negara maju
apabila anggota kabinet melanggar SOP berhubung Covid 19.
"Tetapi
adalah lebih baik dan mulia sekiranya menteri tersebut memikul
tanggungjawabnya. Beliau patut berdiri sebagai seorang lelaki dan sebagai
seorang menteri mengaku salah, meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia
serta meletakkan jawatannya secara terhormat," kata Hassan lagi.
Untuk rekod,
beberapa orang menteri di negara Barat telah meletak jawatan sebaik sahaja
tular berita mereka melakukan pelanggaran larangan perjalanan atau kuarantin
berhubung Covid 19.
Antara yang
telah meletak jawatan adalah seorang menteri dari Scotland, Douglas Ross,
menteri New Zealand David Clark dua menteri Ireland dan seorang menteri dari
Ghana.