Penguncupan
terburuk ekonomi Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara memerlukan
gandaan peruntukan dalam pakej ransangan ekonomi berikutnya.
Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguncupan - 17% pertumbuhan
ekonomi dalam suku kedua memungkinkan berlakunya kemelesetan ekonomi.
Menurut
Presiden KEADILAN itu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus merencanakan
pakej ransangan ekonomi yang melibatkan peruntukan lebih besar dibentang pada
sesi Parlimen kali ini.
"Statistik
mencatatkan 4.9 peratus, seramai 773,200 individu menganggur. Jumlah ini
dijangka akan mencecah 1 juta pada hujung tahun dan lebih terkesan di kalangan
belia.
"Dikhuatiri
dampak ekonomi lebih menyeluruh dan turut melibatkan syarikat-syarikat
berkaitan kerajaan (GLC). Banyak juga Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS)
dilaporkan akan menghentikan operasi kerana tidak mampu menepis dampak
kemelesetan.
"Laporan
Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia
(MIER) mengusulkan agar kerajaan melipat gandakan inisiatif dan langkah bagi
memulihkan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan.
Ahli
Parlimen Port Dickson itu mengkritik suntikan ekonomi yang telah dibuat sebelum
ini pada kadar 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau
membandingkan suntikan yang dilakukan Singapura, dengan penguncupan - 13.2%,
republik itu melaksanakan pakej ransangan 19.6% daripada KDNK, Indonesia -
5.32%, ransangan 3.5%; Thailand - 12%, ransangan 11.8%; Filipina - 16.5%,
ransangan 3.1% dan Australia - 7%, ransangan 10.6%.
Anwar
turut tidak yakin dengan peruntukan pakej ransangan minimum Malaysia mampu
memacu ekonomi secara meyakinkan.
"Suntikan
fiskal sebanyak 3% KDNK adalah terlalu kecil. Jumlah penambahan sebanyak RM45
bilion lagi bagi kami akan memantapkan langkah pertumbuhan ekonomi.
"Jika
ditelusuri cadangan yang kami kemukakan, antara program yang memerlukan
penambahan besar adalah program subsidi upah, inisiatif pengekalan pekerjaan
dan pengambilan pekerja dan bantuan latihan yang perlu ditambah kepada RM33.6
bilion.
"Manakala
Bantuan Prihatin Nasional serta peruntukan bagi Kementerian Kesihatan bagi
perbelanjaan berkaitan Covid-19 masing-masing memerlukan amaun sebanyak RM22.4
bilion dan RM2 bilion.
"Maka,
saya menggesa Menteri Kewangan untuk mempertimbang membawa pindaan dalam
peringkat Jawatankuasa ke atas Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara
Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 dengan
menambah
sebanyak
RM45 bilion lagi, menjadikan suntikan fiskal berjumlah RM90 bilion secara
keseluruhan," katanya.
Anwar
turut menegaskan Pembangkang tidak menolak penambahan amaun pakej ransangan.
Cuma amaun itu perlu digunakan untuk meransang ekonomi rakyat secara tulen,
bukannya menambah peruntukan bagi mengembangkan pentadbiran PN.
"Saya
menjelaskan pendirian Pembangkang bahawa kami tidak menolak Rang Undang-Undang
Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 yang telah melalui
proses undian pada 17 Ogos lalu.
"Sebaliknya,
kami membantah peruntukan yang ditambah pada beberapa kementerian yang pada
hemat kami sangat tidak perlu tatkala kemelut sedang memuncak," katanya
lagi.
Untuk
rekod, penguncupan ekonomi Malaysia adalah yang teburuk sejak krisis kewangan
Asia pada 1998. Bagaimanapun penguncupan ketika itu masih lagi di bawah 10%.