Elak kemelesetan ekonomi, gandakan peruntukan pakej ransangan







Penguncupan terburuk ekonomi Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara memerlukan gandaan peruntukan dalam pakej ransangan ekonomi berikutnya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguncupan - 17% pertumbuhan ekonomi dalam suku kedua memungkinkan berlakunya kemelesetan ekonomi.

Menurut Presiden KEADILAN itu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus merencanakan pakej ransangan ekonomi yang melibatkan peruntukan lebih besar dibentang pada sesi Parlimen kali ini.

"Statistik mencatatkan 4.9 peratus, seramai 773,200 individu menganggur. Jumlah ini dijangka akan mencecah 1 juta pada hujung tahun dan lebih terkesan di kalangan belia.

"Dikhuatiri dampak ekonomi lebih menyeluruh dan turut melibatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Banyak juga Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dilaporkan akan menghentikan operasi kerana tidak mampu menepis dampak kemelesetan.

"Laporan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengusulkan agar kerajaan melipat gandakan inisiatif dan langkah bagi memulihkan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mengkritik suntikan ekonomi yang telah dibuat sebelum ini pada kadar 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau membandingkan suntikan yang dilakukan Singapura, dengan penguncupan - 13.2%, republik itu melaksanakan pakej ransangan 19.6% daripada KDNK, Indonesia - 5.32%, ransangan 3.5%; Thailand - 12%, ransangan 11.8%; Filipina - 16.5%, ransangan 3.1% dan Australia - 7%, ransangan 10.6%.

Anwar turut tidak yakin dengan peruntukan pakej ransangan minimum Malaysia mampu memacu ekonomi secara meyakinkan.

"Suntikan fiskal sebanyak 3% KDNK adalah terlalu kecil. Jumlah penambahan sebanyak RM45 bilion lagi bagi kami akan memantapkan langkah pertumbuhan ekonomi.

"Jika ditelusuri cadangan yang kami kemukakan, antara program yang memerlukan penambahan besar adalah program subsidi upah, inisiatif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja dan bantuan latihan yang perlu ditambah kepada RM33.6 bilion.

"Manakala Bantuan Prihatin Nasional serta peruntukan bagi Kementerian Kesihatan bagi perbelanjaan berkaitan Covid-19 masing-masing memerlukan amaun sebanyak RM22.4 bilion dan RM2 bilion.

"Maka, saya menggesa Menteri Kewangan untuk mempertimbang membawa pindaan dalam peringkat Jawatankuasa ke atas Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 dengan menambah
sebanyak RM45 bilion lagi, menjadikan suntikan fiskal berjumlah RM90 bilion secara keseluruhan," katanya.

Anwar turut menegaskan Pembangkang tidak menolak penambahan amaun pakej ransangan. Cuma amaun itu perlu digunakan untuk meransang ekonomi rakyat secara tulen, bukannya menambah peruntukan bagi mengembangkan pentadbiran PN.

"Saya menjelaskan pendirian Pembangkang bahawa kami tidak menolak Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 yang telah melalui proses undian pada 17 Ogos lalu.

"Sebaliknya, kami membantah peruntukan yang ditambah pada beberapa kementerian yang pada hemat kami sangat tidak perlu tatkala kemelut sedang memuncak," katanya lagi.

Untuk rekod, penguncupan ekonomi Malaysia adalah yang teburuk sejak krisis kewangan Asia pada 1998. Bagaimanapun penguncupan ketika itu masih lagi di bawah 10%.