KEADILAN Sabah mempunyai
sebab-sebab kukuh mengapa parti berbilang kaum itu mampu bertanding di atas
lambang sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September ini.
Timbalan Ketua Angkatan Muda
KEADILAN Sabah, Wendey Agong Baruh berkata antara sebab utama adalah KEADILAN
pernah menggunakan lambang parti dalam pilihan raya sebelum ini dan menunjukkan
hasil yang cukup memberangsangkan.
"KEADILAN ada sejarah lama
di Sabah. Hanya dua tahun selepas penubuhannya, KEADILAN sudah pun meletakkan
calonnya bagi bertanding di PRK Likas pada tahun 2001.
"Kemudian, pada tahun
2013, KEADILAN memenangi kerusi Parlimen P174 Penampang . KEADILAN juga
memenangi tujuh kerusi DUN pada PRU13.
"Pada PRU14 pula, KEADILAN
telah memenangi tiga kerusi Parlimen iaitu Ranau, Putatan, dan Tawau – beserta
dua kerusi DUN," katanya dalam kenyataan.
Kejayaan itu, kata Wendey,
secara tidak langsung membantu kepada peningkatan bilangan ahli KEADILAN di
Sabah
"KEADILAN Sabah kini
mempunyai bilangan anggota kedua tertinggi di seluruh Malaysia.
"Pada Jun 2017,
keanggotaan KEADILAN Sabah merangkumi 170,000 orang, yakni kedua tertinggi
selepas Selangor. Parti KEADILAN mempunyai cabang di kesemua 26 kerusi Parlimen
dan juga sebanyak 93 ranting (cawangan) di Sabah," katanya.
Wendey yang juga Ketua KEADILAN
Cabang Sipitang berpandangan partinya sentiasa memperjuangkan hak orang Sabah,
malah mengiktiraf kedudukan Sabah dalam parti.
"KEADILAN sentiasa
konsisten dalam memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak. Fasal 5.7, 5.8, dan 5.11
dalam Perlembagaan Parti jelas menyatakan tujuan dan matlamat perjuangan
KEADILAN bagi mengiktiraf kedudukan istimewa wilayah Sabah dan Sarawak dalam
Persekutuan Malaysia.
"Dalam parti ini juga,
hanya Pengerusi KEADILAN Sabah dan Sarawak sahaja akan menjadi anggota Biro
Politik iaitu badan eksekutif tertinggi parti.
"Kami yakin dengan
kemampuan KEADILAN logo parti yang digunakan selama ini, dengan bilangan kerusi
yang cukup pada PRN Sabah untuk memastikan kemenangan gabungan WARISAN
Plus," katanya.