Pagi ini merupakan hari penentuan bagi masa depan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Cubaannya membawa usul menukar Speaker Parlimen, Mohamad Ariff Md Yusof bakal menjadi perhitungan hidup mati kepada masa depan politiknya.
Jika menang, kekallah beliau lagi sebagai Perdana Menteri, tetapi jika kalah, berakhirlah segala-galanya.
Di atas kertas berdasarkan perhitungan tradisional, undi yang ada di belakang Muhyiddin ialah 115, manakala blok pembangkang yang merangkumi PH dan blok bebas pula mempunyai 107 undi.
Walaupun Presiden UMNO, Zahid Hamidi menjanjikan sokongan 100 peratus terhadap usul Muhyiddin itu, terdengar juga desas-desus ada Ahli Parlimen tertentu daripada UMNO enggan mematuhi kata-kata itu.
Selain kerana inginkan pilihanraya mengejut, UMNO ternampak tidak berapa setuju dengan calon Speaker baru yang dinamakan Muhyiddin iaitu Azhar Azizan Harun.
Selain kerana beliau merupakan bekas Pengerusi SPR lantikan Tun Mahathir Mohamad sebelum ini, UMNO turut mempertikaikan mengapa Muhyiddin tidak memberikan jawatan tersebut kepada individu lain yang lebih berpengalaman seperti bekas menteri daripada UMNO misalnya.
Kenapa mesti Azhar yang tidak cukup pengalaman dan masih muda ditonjolkan untuk menjadi Speaker? soal beberapa pihak dalam UMNO.
Dengan demikian, jika ada tiga atau empat Ahli Parlimen UMNO tidak menyokong, berkecuali atau tidak hadir ke Parlimen pagi ini, kalahlah usul Muhyiddin itu.
Apabila kalah, pilihan yang paling mungkin ialah Muhyiddin mesti berundur atau membubarkan Parlimen.
Di waktu yang sama, pencalonan Azhar sebagai Speaker juga dikhabarkan turut mendatangkan rasa kurang senang daripda Pas.
Ini berikutan dalam beberapa tulisannya sebelum ini, Azhar dilihat seorang yang berpendirian menentang perlaksanaan hukum hudud di negara ini.
Apakah pagi ini akan ada dua atau tiga Ahli Parlimen Pas akan berpendirian menolak sama usul Muhyiddin kerana tidak setuju Azhar sebagai calon Speaker?
Atau demi kuasa dan ingin kekal dalam jawatan bersama kerajaan, Pas tidak berapa kisah dengan latar belakang Azhar selama ini?
Menang atau kalah usul Muhyiddin pagi ini – sama-sama kita nantikannya? (Shahbudindotcom 13/07/2020)