JUMLAH UNDI HANYA 111,KERAJAAN MUHYIDDIN RAPUH,BOLEH JATUH BILA BILA MASA SAHAJA


Berdasarkan undian 111-109 antara kerajaan dengan blok pembangkang dalam usul membuang Speaker Parlimen, Mohamad Ariff Md. Yusoff, adalah jelas kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sangat rapuh dan tidak stabil.
Angka 111 itu tidak pun melebihi 112, angka majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Daripada jumlah 222 Ahli Parlimen yang ada, 111 bermakna kedudukan adalah di tengah-tengah atau tergantung.
Lebih buruk, angka 111 itu diperolehi melalui lantikan yang besar untuk jawatan menteri, timbalan menteri, duta bertaraf menteri dan pengerusi GLC di kalangan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional atau PN.
Oleh kerana usul membuang Speaker itu dibawa sendiri oleh Muhyiddin, bermakna jumlah undi 111 yang diterima itu adalah cerminan langsung sokongan terhadapnya.
Bayangkan apa jadi jika tiada habuan jawatan dan kedudukan dalam kerajaan serta GLC yang dilonggokkan oleh Muhyiddin kepada Ahli-Ahli Parlimen?
Jumlah undi yang diperolehi Muhyiddin ini juga memperlihatkan tempoh hampir 5 bulan beliau memegang jawatan Perdana Menteri sejak 1 Mac lalu langsung tidak menunjukkan peningkatan sokongan yang diperolehinya.
Dengan rapuhnya sokongan yang dimilikinya sekarang, Muhyiddin sentiasa berada dalam bahaya serta boleh jatuh bila-bila masa.
Jika naik usul undi tidak percaya terhadapnya selepas ini, pastilah sukar beliau untuk membendung arus penolakan terhadapnya.
Begitu juga dalam undian berkaitan kelulusan rang undang-undang dan Belanjawan 2021 di Parlimen nanti, Muhyiddin tentunya juga akan berhadapan keadaan yang mencemaskan.
Gagal mendapatkan kelulusan dalam rang undang-undang atau Belanjawan ditolak adalah sama dengan penolakan terhadap kerajaan.
Kedua-dua keadaan itu terdedah kepada perlunya diadakan pilihanraya semua.
Secara mudahnya, sokongan 111 yang dimiliki itu adalah tidak selamat bagi Muhyiddin untuk terus bertahan serta tidak baik bagi sebuah kerajaan yang dipimpinnya.
Sesebuah kerajaan perlu sokongan yang lebih kuat dan stabil untuk memudahkannya bergerak dan merancang sesuatu yang difikirkan baik untuk rakyat serta negara melalui Parlimen.
Tanpa mampu berbuat apa-apa atau seringkali usulnya ditolak akan memperlihatkan sebuah kerajaan yang gagal.
Untuk itu, dengan terbukti hanya 111 sokongan yang dimilikinya, Muhyiddin tidak harus memangsakan rakyat dengan terus meletakkan dirinya sebagai ketua kerajaan dan PN sebagai kerajaan.
Pilihan yang terbaik dan bermoral baginya ialah segera membubarkan Parlimen agar pilihanraya semula dapat dapat diadakan.
Biarlah rakyat membuat pilihan yang wajar siapa yang mereka mahukan sebagai kerajaan untuk mentadbir negara ini.
Tidak perlu beliau menunggu sehingga usul undi tidak percaya dibentangkan, rang undang-undang tidak lulus dan Belanjawan 2021 ditolak baru hendak membubarkan Parlimen.
Lagi pula, PN ini bukanlah kerajaan yang pernah diberi mandat secara sah oleh rakyat – ia tidak lebih sekadar campuran antara pengkhianat dan penebuk atap yang sanggup bersekongkol untuk memenuhi nafsu tak bertepi masing-masing saja. (Shahbudindotcom 13/07/2020)