Respons terhadap PENJANA



Saya menyambut baik inisiatif kerajaan kini dalam memastikan ekonomi negara terjaga dalam keadaan pandemik ini. Ini kerana memastikan kestabilan ekonomi adalah tugas hakiki mana-mana kerajaan samada dipilih secara rasmi oleh rakyat melalui pilihanraya ataupun dengan membawa lari mandat rakyat.

Namun adalah lebih elok sekiranya pihak kerajaan kini memanfaatkan sistem parlimen sedia ada untuk berbahas terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan terutama perkara yang melibatkan pendapatan dan perbelanjaan kerajaan persekutuan yang dikatakan memakan RM 15 billion suntikan fiskal daripada kerajaan. Ini adalah duit pembayar cukai dan duit rakyat yang seharusnya disemak imbang oleh pembangkang untuk mendapat keputusan yang lebih baik untuk rakyat. Penambahan dana ini juga secara langsung meningkatkan lagi nilai defisit kerajaan yang kini sudah bernilai RM111.7 bilion atau 6.9% dari KDNK.

1. Slogan “no one left behind” yang dilaungkan oleh YAB perdana menteri dahulu tidak lagi terlihat di dalam PENJANA ini. Sepertinya golongan peniaga kecil seperti Makcik Kiah tidak mendapat manfaat terhadap pakej rangsangan ini. Golongan peniaga kecil ini tidaklah tergolong di dalam Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) dek kerana mereka adalah di dalam kategori “informal sector” di dalam ekonomi. Makcik Kiah hanya perlu bertahan dengan pemberian Bantuan Prihatin Nasional yang tidak lagi mencukupi untuk menghadapi masa mendatang. Sudahlah mereka sudah tutup gerai sejak bulan Mac, malah tiada lagi bantuan tambahan bagi golongan kecil seperti ini. Kini mereka perlu bermula dari bawah untuk meneruskan kehidupan apabila gerai kecil baru sahaja dibenarkan untuk berniaga.

2. Pakej internet percuma 1GB sehari yang diberikan tidaklah mencukupi untuk digunakan oleh pelajar yang hadir daripada keluarga miskin terutamanya. Laporan yang dibuat oleh WhitstleOut menunjukkan bahawa satu jam sesi panggilan video berkumpulan memakan data sebanyak 810MB sejam. Ini sudahpun memakan 80% daripada data percuma yang diberikan. Bagaimana sekiranya satu pelajar mempunyai tiga kelas yang memakan sekurang-kurangnya 3 jam sesi panggilan video? Ini telahpun memakan data sehingga 2.4GB sehari. Mereka ini tidak mampu untuk membeli data tambahan internet bagi menampung penggunaan pendidikan. Adakah kerajaan hanya mahu membiarkan jurang pendidikan melebar dan mereka ini adalah mangsa penipuan slogan “no one left behind”. Kerajaan seharusnya memberi akses tidak terhad terhadap aplikasi panggilan video bukan hanya kepada laman sesawang kerajaan dan aplikasi-aplikasi kerajaan.

3. Insentif sektor hartanah yang diperkenalkan juga tidak membantu untuk golongan-golongan peniaga kecil dan golongan B40. Ini hanya akan menguntungkan syarikat hartanah dan golongan-golongan kaya. Dengan menarik semula had pembiayaan 70% bagi rumah ketiga berharga RM600 ribu ke atas, ini hanya akan meningkatkan lagi jurang pemilikan rumah antara golongan kaya dan B40. Mereka yang berkemampuan kini menambah lagi unit rumah ketiga dek kerana pengenalan polisi ini. Rakyat yang miskin hanya mampu melihat dan terus menyewa seumur hidup. Adalah lebih elok sekiranya perumahan mewah dibiarkan saja harganya berubah mengikut pasaran bebas. Kerajaan patut memfokuskan untuk memberikan bantuan untuk rumah mampu milik agar lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah sendiri.

4. Sepertinya kerajaan PN meneruskan inisiatif kerajaan PH dengan memberikan e-dompet bernilai RM50. Walaupun dahulu usaha yang sama dilakukan oleh kerajaan PH ditentang dengan fitnah-fitnah seperti akan berlakunya ketirisan data, akhirnya pemberian wang secara digital diperakui sendiri oleh kerajaan PN bahawa inisiatif ini adalah inisiatif yang bagus untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai. Inisiatif ini juga dapat mengelakkan persentuhan antara pelanggan dan juruwang yang secara tidak langsung mengurangkan risiko penyebaran virus COVID-19.

Akhir kata, PENJANA ini tidak dinafikan dapat membantu merancakkan ekonomi dengan insentif-insentif dan subsidi tertentu. Tetapi adalah lebih elok sekiranya perkara ini dapat dibahaskan dan mendapatkan input penambahbaikan dari semua ahli parlimen. Kekurangan utama PENJANA adalah dari sudut menyelesaikan masalah jurang ekonomi dan jurang sosial rakyat.

YB Dato’ Wira Amiruddin Hamzah
Kubang Pasu,Kedah
14 JUN 2020

#SelamatkanBersatu
#KekalBerprinsip
#KembalikanMandatRakyat