MGF20112019_SIDANG-MEDIA-TUN-MAHATHIR_16-681x454
Dr. Mahathir Mohamad bersama Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa lebih ramai pemimpin UMNO akan dibebaskan daripada pertuduhan di mahkamah tidak lama lagi.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, langkah itu bagi mengukuhkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri kelapan negara di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Jika enam orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108 – iaitu kurang dari separuh.
“Maka Kerajaan Muhyiddin pun akan jatuh.
“Sebab itu Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mereka menurut Mahathir adalah Datuk Seri Najib Abdul Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Najib kini berdepan berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International dan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Sementara Ahmad Zahid kini berhadapan dengan 84 pertuduhan membabitkan kes pecah amanah dan penggubahan wang haram berjumlah puluhan juta ringgit wang milik Yayasan Akalbudi.
Dalam pada itu, Mahathir berkata, Muhyiddin akan “menentukan” enam ahli parlimen UMNO yang berdepan kes mahkamah atas tuduhan rasuah tidak akan disabitkan kesalahan.
Jelas Mahathir, sekiranya Ahli Parlimen UMNO itu didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat, yang akan menyebabkan kerajaan yang dipimpin Muhyiddin tumbang kerana kekurangan majoriti.
“Sekarang jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin hanya 114, iaitu tiga sahaja lebih dari separuh (daripada 222 kerusi kesemuanya).
“Sudah tentu enam orang ini juga akan didapati tidak bersalah. Maka selamatlah Muhyiddin.
“Dunia akan ketawa melihat Kerajaan pintu belakang ini putar undang-undang. Yang salah tidak salah. Yang benar salah,” katanya lagi.
Selasa lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid, bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.