Pemindahan ‘aset sakit’ selamatkan TH ketika pandemik Covid 19
Oleh: Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda UMNO pada 18hb Jun yang meminta penjelasan isu Tabung Haji dan ‘penjualan 18 asset’. Beliau mendakwa tindakan saya ‘lelong aset TH’ dan saya ‘berbohong’ kononnya saya menyatakan tidak ada campurtangan politik dalam keputusan yang dibuat.
Saya kurang faham apa mesejnya namun pastinya ia adalah kenyataan berbau politik untuk memburukkan reputasi dan nama baik saya dan sekaligus pengurusan dan Lembaga Pengarah TH. Demi kebaikan Tabung Haji dan kepentingan bakal Jamaah Haji, saya menyarankan Ketua Pemuda Umno memahami terlebih dahulu realiti kedudukan kewangan TH yang semakin tenat ketika saya mengambil alih. Titik permulaan memahami ini sangat penting kerana ia menjawab segala tohmahan ‘separuh masak’ yang tidak kenal hujung pangkal permasalahan. Awal tak faham hujungnya akan bercelaru!
Walaupun sebelum ini telah dibuat penjelasan demi penjelasan tetapi kerana Ketua Pemuda Umno ini mungkin ada masalah ‘mudah lupa’, saya akan jelaskan keadaan sekali lagi kerana saya bertanggungjawab kepada dasar pemulihan TH di bawah kerajaan PH.
Kedudukan kewangan TH sangat kritikal dengan mengambil kira tahun kewangan 2017. Jabatan Audit Negara (JAN) telah membuat 2 teguran dalam Emphasis of Matter tentang polisi rosot nilai yang tidak konsisten dan kegagalan merekodkan rosot nilai yang secukupnya.
Pada Ogos 2018 TH melantik PwC bagi mengesahkan penemuan JAN dan jurang defisit. Penemuan mendapati pendapatan yang tidak disokong aliran tunai, pelanggaran pematuhan piawaian pelaporan kewangan dan pengistyharan hibah yang melanggar Akta Tabung Haji 1995. TH sepatutnya mencatat kerugian RM 1.4 bilion bagi tahun 2017 bukan keuntungan RM 3.4 bilion.
Kedudukan defisit TH sudah pun diberi teguran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak tahun 2014 kerana tidak layak memberi hibah yang tinggi. Namun Menteri dan Timbalannya ketika itu meneruskan pemberian hibah yang tinggi sehingga defisit menjadi semakin melebar. Keadaan ini berpotensi menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan 9.3juta pendeposit umat Islam sehingga boleh berlaku pengeluaran panik yang akan menjejaskan pasaran saham secara keseluruhan.
Menyedari hal ini Menteri Agama dan Timbalannya semasa kerajaan PH telah menetapkan dasar pemulihan TH dengan mensasarkan matlamat untuk melindungi kepentingan 9.3 juta pendeposit, memastikan kelangsungan operasi pengurusan haji dan mematuhi sepenuhnya akta Tabung Haji khususnya kelayakan pemberian hibah di seksyen 22 Akta Tabung Haji (1995).
Langkah pertama ialah mengenalpasti ‘aset sakit’ yang membawa kerugian 20% dari ekuiti, bangunan dan hartanah yang membawa pulangan kurang 2.5% setahun. Hasilnya ‘aset sakit’ yang dikenal pasti ialah 106 sekuriti domestik, 29 bangunan dan hartanah serta 1 syarikat perladangan yang tidak tersenarai.
Aset sakit dipindahkan kepada UJSB iaitu sebuah syarikat bertujuan khas di bawah Kementerian Kewangan dengan nilai premium iaitu RM19.9b dan diganti dengan penerbitan sukuk kepada TH. Perjanjian dengan UJSB juga menetapkan bahawa TH ada hak “First Right of Refusal” Hak Penolakan Pertama jikalau UJSB hendak menjual mana-mana aset yang dipindahkan kepadanya.
Semua proses dibuat secara telus dalam menjayakan Dasar Pemulihan TH melalui kelulusan kabinet setelah mendapat penjelasan dan maklumat berfakta daripada pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah TH. Adalah keutamaan kami untuk mengimbangi kedudukan aset dari defisit untuk pemberian hibah yang layak dan untuk kelestarian kewangan TH.
18 aset yang dirujuk oleh Ketua Pemuda dalam dakwaannya termasuk dalam senarai ‘aset sakit’ dan menjadi keutamaan Lembaga Pengarah TH untuk menilai secara profesional sejauhmana kuasa ‘first right of refusal’ hendak digunakan. Setelah berpuashati aset yang dimaksudkan tidak berbaloi untuk diambil balik, Lembaga Pengarah dan Pengurusan akan menasihati Menteri untuk kecualikan kuasa dan hak ini. Tiada campurtangan politik dalam membuat penilaian secara profesional dan jauh sekali dakwaan ‘lelongan aset TH’ yang dituduh oleh Ketua Pemuda UMNO.
Bagaimana Ketua Pemuda UMNO ini yang memilik ijazah Phd boleh mendakwa saya ‘melelong harta TH’ sedangkan di bawah pentadbiran PH, kami cuba menyelamatkan kewangan TH yang tenat malah ‘nazak’ yang kami warisi dari BN sebelumnya. Semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Agama dari Julai 2015 hingga Mei 2018, apakah tindakan yang diambil sedangkan keadaan defisit sudah pun mula membengkak? Sila jelaskan kepada umat Islam.
Bagi Menteri Agama dan Timbalannya di bawah PH, usaha pemulihan yang dibuat berjaya menyelamatkan TH dari sudut, segala rosot nilai yang tidak dipatuhi dibuat pembersihan, aset telah melebihi tanggungan (pindahan aset sakit berjaya tangani defisit) dan akta TH khususnya pada seksyen 22 dalam pemberian hibah telah dipatuhi. Lebih utama kebajikan para Jamaah Haji dijaga, dan pengurusan yang lebih berhemah dilaksanakan demi kelestarian TH serta budaya tiada campurtangan politik dilaksanakan sehingga menjadikan TH kini lebih kukuh kedudukannya.
Saya sarankan kepada Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi untuk rujuk kepada Lembaga Pengarah dan Pengurusan TH untuk bertanya penjelasan ringkas saya ini, sejauhmana kebenaran penjelasan saya. Malah beliau boleh meminta UJSB untuk bertanya apakah 18 aset yang dimaksudkan sudah terjual di pasaran setelah pengecualian hak penolakan pertama diluluskan, kalau ada berapa dari aset itu yang dah terjual. Jika tidak keberatan boleh rujuk kepada Menteri Kewangan kerajaan PN.
Aset Hotel yang dimaksudkan tidak dijual kepada sesiapa tetapi dikendalikan oleh anak syarikat UJSB (kini di bawah Menteri PN) dan semua kakitangan dahulunya diserap. Alhamdulillah langkah pemulihan awal kami tanpa disedari telah menyelamatkan TH dari bebanan kerugian sektor perhotelan akibat covid 19.
Saya turut mencadangkan Asyraf Wajdi bertemu dengan Menteri Agama hari ini dan bertanya kepadanya apakah benar dakwaan Mujahid melelong harta TH ataukah Mujahid telah menyelamatkan TH dari legasi kepimpinan TH semasa BN.
Saya tiada halangan jika dakwaan yang telah meracuni pemikiran sebahagian umat Islam ini dibuat satu Suruhanjaya Di Raja Bebas bagi kita selesaikan fitnah, penipuan dan berita palsu terhadap TH yang dimainkan oleh pencetus utamanya Ketua Pemuda UMNO dan yang seangkatan dengannya. Saya bersedia untuk membantu siasatan dalam Suruhanjaya bebas ini.
Sekian
_______________________________________________________________________________
Mijahid adalah Ahli Parlimen Parit Buntar
Mijahid adalah Ahli Parlimen Parit Buntar