Hentikan gangguan, tindas kebebasan bersuara MP Pembangkang – PH
Siri siasatan berterusan terhadap Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang sejak kebelakangan ini kelihatan menjurus ke arah intimidasi dan melanggar hak kebebasan bersuara di Malaysia.
Sehubungan itu, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan memandang serius tindakan pihak berkuasa menyoal-siasat Ahli-Ahli Parlimen berkenaan serta mengecam sikap media massa pro Perikatan Nasional (PN) yang menyiarkan laporan-laporan berita menimbulkan persepsi tertentu terhadap individu-individu disiasat.
“Majlis Setiausaha berpandangan bahawa tindakan-tindakan ini adalah satu bentuk intimidasi terhadap musuh politik. Kami mengecam keras tindakan-tindakan intimidasi ini.
“Pihak Kerajaan PN seharusnya lebih matang dan terbuka dalam menangani pendirian politik yang berbeza dari yang dipegang PN itu sendiri. Tindakan-tindakan intimidasi seperti ini hanya akan mewujudkan persepsi negatif terhadap politik dan demokrasi Malaysia di mata dunia.
“Majlis Setiausaha menggesa agar tindakan-tindakan intimidasi ini dihentikan serta-merta. Demokrasi di Malaysia harus dipertahan dan diselamatkan dari pihak yang ingin merosakkan keadaan demi kepentingan peribadi dan kelompok politik mereka,” kata kenyataan bersama itu.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili KEADILAN, Khalid Samad (AMANAH) dan Anthony Loke (DAP).
Sejak dua minggu lalu beberapa Ahli Parlimen PH telah pun dipanggil untuk disoal siasat. Antaranya Hannah Yeoh, Sivarasa Rasiah, Dr Xavier Jayakumar dan Syed Sadiq Syed Abdul Rahman.