Khianat amanah rakyat termasuk amalan bertakwa?
Tindakan Pas bersekongkol dengan puak Azmin – Muhyiddin – Umno dalam kerajaan ‘tebuk atap’ terus mendapat kritikan bertali arus meskipun selepas 3 bulan kerajaan Perikatan Nasional terbentuk.
Apatah lagi baru-baru ini mahkamah telah membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman yang menghadapi 46 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram.
Persoalan kini bukan sahaja timbul dalam kalangan rakyat tidak berparti namun timbul di celah-celah penyokong Pas sendiri.
Ramai yang tertanya-tanya adakah Pas telah mengubah hala tuju perjuangan yang berpaksikan Quran dan sunnah sejak tiga dekad lalu apabila mempersoalkan mengenai pembebasan Musa tersebut.
Pas juga – menurut penyokong – sudah kurang sesuai menyebut isu-isu takwa dalam perkembangan ijtihad politik muktahir mereka.
“Adakah tergolong sebagai insan bertakwa jika bersetuju melepaskan orang yang dituduh sebelum dibicarakan?
“Apakah dinamakan amalan orang yang bertakwa bila mana memancing YB supaya bersama pengkhianat?
“Adakah termasuk dalam amalan takwa bila mengkhianati amanah pemilih pengundi dalam PRU14 lalu?” tanya seorang penyokong Pas yang tidak mahu dikenali.
Katanya, persoalan-persoalan itu kini sedang bermain dalam kepala para penyokong yang sejak puluhan tahun diasuh mendalami makna al Quran dan berjuang berpaksikan sunnah Nabi s.a.w.
Malah, sebilangan penyokong Pas di Pantai Timur mula mengulang pendapat ulama Pas mengenai ‘Seketul daging lembu dalam sekawah daging babi’ yang sering diulang-ulang oleh penceramah parti itu sebagai dalil menolak berpakat bersama Umno.
“Apakah Pas akan gunakan ayat amanat Banggol Peradung (yang diterbalikkan) iaitu seketul daging lembu dalam sekawah daging babi bagi menghalalkan penyertaan parti Islam itu ke dalam kerajaan Azmin – Muhyidin sebagai menepati kehendak agama Islam?
“Dahulu ketika Pas bersendirian ayat seketul daging lembu dalam sekawah daging babi itu tidak dapat menghalalkan gabungan bersama Umno malah hubungan dengan orang kafir sekalipun tidak boleh dilakukan,” kata beliau lagi.