P. Pinang akan bawa usul kosongkan kerusi Adun khianat mandat rakyat



Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang hari ini melucutkan status ahli kerajaan negeri dua Adun Bersatu yang berpaling tadah menyokong Perikatan Nasional (PN).

Menurut gabungan itu, tindakan kedua-dua Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Adun Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim itu jelas bercanggah dengan pendirian bersama PH dan Bersatu negeri.
Selaras dengan keputusan itu juga, kata PH Pulau Pinang, segala hak dan kelayakan mereka sebagai Adun kerajaan negeri juga adalah dibatalkan dengan serta-merta. 

“Selaras dengan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, mana-mana ahli yang berhenti menjadi ahli parti yang diwakilinya semasa pilihan raya atas apa jua alasan hendaklah mengosongkan kerusinya. 

“Justeru itu, kerajaan negeri akan membentangkan usul untuk mengosongkan kerusi ahli-ahli yang terlibat bagi pertimbangan Dewan Undangan Negeri pada sidang yang akan datang,” kata PH Pulau Pinang dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Pengerusi 1, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Timbalan Pengerusi 2, Dr Roslan Ahmad.

Dalam pada itu, PH Pulau Pinang turut membuat ketetapan untuk menggantung status ahli kerajaan yang dipegang Dr Afif Bahardin selaras dengan keputusan PKR menggantung keahlian Adun Seberang Jaya itu. 

“Oleh itu, segala hak dan kelayakannya sebagai Adun kerajaan negeri adalah digantung dengan serta merta sehingga keputusan muktamad dibuat oleh pimpinan PKR,” ujarnya. 

PH Pulau Pinang turut mengumumkan tiga nama yang akan menjadi “Adun angkat” di ketiga-tiga kawasan tersebut bagi tujuan mengurus serta menyelaras program dan urusan kerajaan negeri.
Teluk Bahang akan diletakkan di bawah Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, sementera Bertam dan Seberang Jaya masing-masing di bawah Adun Pinang Tunggal, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.