CUBAAN AZMIN RAIH POPULARITI GAGAL SEGAGALNYA


Susulan pengumuman Muhyiddin Yassin untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan meneruskan operasi ketika tempoh PKP dikuatkuasakan, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali lewat petang semalam telah mengeluarkan kenyataan media berkenaan perkara itu.
Dalam kenyataan medianya, beliau mengumumkan beberapa perniagaan yang boleh meneruskan perniagaan seperti kedai cermin mata, dobi, guaman, perkhidmatan penyelidikan serta pembangunan, gunting rambut dan sebagainya.
Begitu pun, dalam semua sektor yang diumumkannya itu, kebenaran kedai gunting rambut meneruskan perniagaan menjadi kecaman yang tidak disangka-sangka.
Meski dalam tempoh PKP yang sudah hampir sebulan lamanya ini ramai yang bersungut mengenai rambut yang semakin panjang serta berserabut, tetapi disedari juga membenarkan kedai gunting rambut berpotensi akan menjadikan wabak Covid-10 kian merebak.
Ini kerana penjarakan sosial tidak mungkin dapat dipatuhi semasa menggunting rambut, selain keadaan kedai yang sempit dan ramai orang akan menyebabkan virus Covid-19 lebih mudah berjangkit.
Lebih-lebih lagi kemudian timbul laporan di AS yang mendapati ada yang meninggal dunia kerana terkena wabak tersebut ketika menggunting rambut.
Lebih daripada itu, beberapa persatuan gunting rambut juga menolak kebenaran yang diumumkan Azmin itu kerana bimbang tukang gunting rambut akhirnya lebih berpotensi menjadi mangsa Covid-19 berikutan terpaksa bersentuhan dengan ramai orang setiap hari.
Kementerian Kesihatan melalui Pengarah Kesihatannya, Noor Hisham Abdullah juga memberi respon menolak keputusan membenarkan kedai gunting rambut dibuka sehinggalah wabak Covid-19 benar-dapat dikawal.
Berikutan itu, khususnya di media sosial, kecaman dan hentaman terhadap Azmin datang bertalu-talu, tidak kira daripada mereka yang pro kerajaan atau pro pembangkang.
Rata-rata mengecam Azmin kerana tidak meneliti dengan mendalam sebelum membuat keputusan membenarkan kedai gunting rambut meneruskan perniagaan, selain ada yang mengatakan beliau cuba meraih populariti rakyat daripadanya.
Menyedari beliau tidak berapa disukai susulan pengkhianatannya sehingga tertubuhnya kerajaan tebuk atap PN ini, Azmin diperkatakan cuba berbuat sesuatu yang menyenangkan hati rakyat dalam tempoh PKP ini.
Tetapi, dengan adanya bantahan daripada Kementerian Kesihatan sendiri, Azmin seterusnya dipertikaikan lagi seolah-olah beliau tidak merujuk kepada kementerian tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkaitan gunting rambut itu.
Ada pula yang membuat andaian, oleh kerana rambutnya sendiri terjaga rapi dan ada “line” di bahagian tepi, keputusan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi itu dikatakan lebih untuk kepentingan dirinya.
Yang nyata, dengan isu gunting rambut ini, nama Azmin terus menjadi kecaman ramai, malah cubaannya untuk mendapat sedikit populariti daripada rakyat ternyata telah gagal.
Malah, kini kedudukannya sebagai Menteri Kanan juga dirasakan tidak lagi sepadan dengannya.
Tetapi, yang anehnya, ada juga budak-budak Azmin cuba tampil membela beliau seolah-olah keputusan membenarkan gunting rambut beroperasi adalah sesuatu yang wajar.
Bekas Exco Pulau Pinang yang kini dilaporkan pegawai khas Azmin, Dr. Afif Bahardin misalnya menulis di laman Twitter kononnya ada kajian yang menunjukkan menggunting rambut mampu mengurangkan tekanan darah tinggi.
Malangnya, tweet beliau itu menjadikan kecaman tambah berganda lagi, bukan saja kepada Dr. Afif sendiri tetapi juga kepada Azmin.
Nampaknya usaha untuk menyelamatkan Azmin gagal lagi.
Namanya kini tambah terperosok ke tepi, walhal peranan sebenar beliau dalam tempoh PKP ini adalah mengetuai jawatankuasa bekalan makanan dan bukannya menjaga rambut. 
(ShahbudinHusin 12/04/2020)