Pembelian panik tak untungkan sesiapa – Anwar


By Nizam Zain -  17 March 2020

MGF13032020_PC-ANWAR-IBRAHIM04


MGF13032020_PC-ANWAR-IBRAHIM04
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini parti tersebut di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Petaling Jaya. foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2020
KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembelian panik menjelang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 selama 14 hari,bermula dari 18 hingga 31 Mac ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya menggesa orang ramai agar kembali bertenang dan menghentikan segera pembelian panik yang disifatkannya tidak menguntungkan mana-mana pihak.

“Saya menggesa rakyat untuk bertenang dan hentikan pembelian panik kerana ia tidak menguntungkan sesiapa,” katanya ketika menciap di Twitter miliknya, hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa beberapa pasar raya di ibu negara khususnya pusat pemborong telah diserbu orang ramai dengan membuat pembelian panik dan dalam kuantiti besar.

Pembelian panik itu dipercayai selepas ada pihak tidak bertanggungjawab memutarbelitkan Perintah Kawalan Pergerakan dengan perintah berkurung sedangkan orang ramai masih boleh membeli barang keperluan sepanjang tempoh itu berkuatkuasa.

Dalam pada itu, Anwar menasihatkan mahasiswa di semua institut pengajian tinggi agar tidak kembali ke kampung halaman masing-masing bagi mengelakkan penularan wabak itu.

“Juga kepada semua termasuk para pelajar untuk tidak pulang ke kampung kerana peratus untuk menularnya virus Covid-19 ini amat tinggi,” ciapnya lagi. – MalaysiaGazette