Kawalan pergerakan: Ransangan ekonomi tidak memadai tutup kerugian
Langkah kawalan pergerakan yang diumumkan malam tadi akan memberi kesan besar kepada sektor perniagaan, terutama pelancongan yang akan diarah tutup sepanjang dua minggu sehingga 1 April depan
Oleh itu, golongan usahawan kini berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar melaksanakan pelan rangsangan ekonomi baharu untuk membantu komuniti berkenaan mengatasi cabaran getir serangan Covid 19.
Menurut pemerhati ekonomi, Jameson Tan, penyediaan bantuan kewangan RM600 kepada pekerja bergaji di bawah RM4,000 akan mengurangkan perbelanjaan runcit memandangkan jumlah berkenaan kecil.
Manakala sektor terjejas pula diberikan diskaun bayaran bil elektrik 15 peratus bermula 1 April sehingga 30 September tidak cukup untuk menutup kerugian teruk sektor perniagaan.
“Negara Malaysia amat memerlukan rangsangan dari segi ekonomi dan kewangan. Rakyat yang kehilangan mata pencarian mesti dibantu dengan segera apabila kilang memberikan cuti kepada pekerja dan mungkin akan ada tindakan pengurangan pekerja.
“Namun lebih buruk lagi suasana politik Malaysia kerana dalam masa seperti ini ada juga puak-puak berniat jahat yang menyebarkan berita palsu memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Harapan atau menyebarkan berita palsu mengenai virus Covid-19.
“Ini adalah tindakan gila yang boleh melemahkan lagi ekonomi Malaysia yang sudah pun lemah sebelum ini. Sepatutnya inilah masa rakyat bersatu menentang virus mematikan ini. Malangnya jelas masih lagi ada orang rasis yang mahu menjejaskan keadaan politik dan ekonomi negara Malaysia,” katanya.
Menurut Jameson lagi, pekej ransangan baru yang lebih bersar daripada RM20 bilion sebagaimana diumumkan ketajaan sebelum ini perlu diumumkan segera bagi memberi sokongan moral kepada sektor perniagaan dan perindustrian.
Bagaimanapun dengan harga minyak yang kini sudah berada pada persekitaran AS $34 setong, pendapatan Malaysia yang 40 peratus bergantung kepada sumber minyak juga akan mengalami penurunan yang teruk.
“Oleh itu, situasi sekarang amat menguji Kerajaan Perikatan namun apa yang penting ialah memberi keyakinan kepada semua golongan di Malaysia serta juga masyarakat antarabangsa bahawa ekonomi masih boleh bertahan,” tambahnya.