Bekas pesakit Covid-19 yang juga Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Ariffin Mamat berkongsikan pengalamannya yang pernah disahkan positif virus berbahaya itu.
Katanya, pada 5 Mac lalu beliau disahkan positif Covid-19 dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh untuk mendapat rawatan kesihatan sebelum disahkan bebas daripada penyakit itu beberapa hari lalu.
Beliau memberitahu Covid-19 sebenarnya masih boleh dirawat jika mengamalkan gaya hidup sihat serta mempunyai minda positif.
“Jadi, untuk diri kita melawan kuman, minda perlu positif dan kita kena ada harapan sembuh, jangan berputus asa.
“Kita jangan rasa sedih, takut dan menggunakan masa dengan sebaik mungkin dengan tidur yang cukup,” dipetik dari BH hari ini.
Sebenarnya, ujar beliau, tubuh akan mudah melawan penyakit apabila badan kuat dan menjaga kesihatan sebelum itu.
Mengimbas kembali detik beliau disahkan positif Covid-19, Ariffin berkata, dirinya tiada simptom seperti deman teruk dan selesema tetapi doktor mengesahkan beliau dijangkiti disebabkan ada berhubung rapat dengan individu yang lebih awal disahkan positif.
Jelasnya, beliau juga tidak diberikan ubat khusus merawat Covid-19 oleh hospital sebaliknya hanya mendapat rawatan dari simptom batuk dialaminya.
“Saya hanya batuk sikit-sikit. Virus ini sangat senang berjangkit.
“Selepas mengetahui ada kontak pada satu majlis yang saya hadiri disahkan positif, saya terpanggil membuat saringan.
“Saya juga mengambil langkah proaktif untuk mengenal pasti kontak rapat,” ujar Pak Pin lagi.