Pakatan baru tanpa restu pengundi akan terima padah – Mohamad
Ura-ura kerjasama politik antara Umno dan Bersatu yang kononnya akan membentuk kerajaan baharu akan mendapat tentangan pengundi dalam pilihan raya umum ke 15.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi amaran tindakan tersebut bertentangan dengan pendirian Umno sebelum ini untuk tidak menubuhkan kerajaan ‘pintu belakang’ juga menurutnya bertentangan dengan amalan demokrasi.
Beliau mengulas pendedahan rakaman suara Presiden Umno Zahid Hamidi yang dibuat oleh ahli Majlis Tertinggi Umno sebelum ini, Lokman Noor Adam.
“Mesyuarat yang dinyatakan oleh Datuk Lokman Adam mengenai dakwaan yang mengatakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ingin bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanyalah satu mesyuarat yang membabitkan satu jawatankuasa kecil mengenai kolaboratif peringkat nasional.
“Ia bukanlah Mesyuarat Tertinggi Umno dan jika ada sesiapapun menyebut tentang perkara ini maka ia bukanlah pendirian parti. Jika kita menerima tawaran atau Dr Mahathir menawarkan kepada kita, ia adalah tidak demokratik,” katanya dipetik The Star.
Mohamad yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau, berkata tidak perlu wujud istilah kerajaan pintu belakang kerana kerajaan boleh dibentuk menerusi saluran yang sah iaitu menerusi pilihan raya setiap lima tahun sekali.
“Membentuk kerajaan menerusi cara yang salah akan menyebabkan semua pihak tidak dianggap sebagai pemenang sebaliknya semua orang kalah.
“Rakyat yang mengundi kita pada pilihan raya yang lalu tidak akan mempercayai kita lagi dan pengundi yang akan mengundi PH juga akan melakukan yang sama,” katanya lagi.
Umno dijangka akan membuat keputusan untuk memuktamadkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) hari ini berhubung cadangan pembentukan kerajaan campuran.