Di sebalik ketidaktentuan berhubung tarikhnya menjadi Perdana Menteri, malah dengan ura-ura terbaru wujudnya Pakatan Nasional yang bermakna Tun Mahathir Mohamad mahu memungkiri terus janji peralihan kuasa terhadapnya, Anwar Ibrahim tetap menunjukkan sikap terpujinya.
Katanya, beliau tidak kisah menunggu enam bulan lagi janji peralihan kuasa itu menjadi kenyataan iaitu sehingga November atau selepas Sidang Apec sebagaimaha yang dimahukan oleh Tun Mahathir baru-baru ini.
Dalam temu bual dengan Reuters, Presiden PKR itu berkata, sebelum ini pun beliau sudah menunggu selama 20 tahun.
“Kamu sudah menanti 20 tahun, melanjutkannya enam bulan lagi sebenarnya bukan masalah,” tambah beliau.
Pakatan Nasional adalah gabungan baru yang diura-urakan mahu diwujudkan oleh Tun Mahathir bersama UMNO dan Pas bagi memanjangkan lagi tempohnya memegang jawatan Perdana Menteri.
Gabungan baru, mengikut perancangannya akan mengenepikan PKR, DAP dan Amanah serta Tun Mahathir tidak terikat lagi dengan janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.
Bermakna dalam hal ini Anwar bukan saja menunjukkan sikap sabarnya, malah juga rendah diri terhadap Tun Mahathir dan janji peralihan kuasa yang melibatkan dirinya.
Daripada Mei 2020 yang sepatutnya iaitu genap dua tahun selepas Tun Mahathir memegang jawatan itu, ia kini dilanjutkan enam bulan lagi sehingga November depan atas permintaan Tun Mahathir sendiri.
Yang penting di sini, dengan kesediaan Anwar bertolak ansur sehingga November, ia dengan sendirinya menunjukkan Presiden PKR itu bukanlah gelojoh untuk menjadi Perdana Menteri, malah sedia bersabar demi kebaikan PH dan masa depan negara ini.
Selama ini, Anwar dikenali sebagai seorang yang amat pemaaf dan ramai musuh politik atau mereka yang bermusuh dengannya telah dimaafkannya.
Kemuncak sikap pemaafnya ialah bila beliau sedia berdamai dengan Tun Mahathir yang pernah memecat, memenjara dan menyebabkannya dipukul hampir setengah mati dalam lokap polis.
Terbukti kini, selain pemaaf, Anwar juga penyabar, tidak gelojoh dan rendah diri.
Orang sebeginikah yang ingin dikhianati lagi oleh Tun Mahathir?
(ShahbudinHusin p6/02/2020)
(ShahbudinHusin p6/02/2020)