UPKO bantu Warisan rampas kerusi Kimanis
Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) bersedia untuk membantu calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang akan diadakan pada 18 Jan depan.
Presidenya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata parti itu telah mengadakan mesyuarat dan melantik jentera PRK bagi memastikan setiap ahli UPKO di Parlimen Kimanis akan keluar mengundi pada hari pengundian dan memilih calon kerajaan.
“Tumpuan kita adalah untuk memastikan setiap ahli UPKO di kawasan itu akan keluar mengundi dan akan mengundi calon daripada kerajaan (Warisan).
“Terdapat kira-kira 2,000 ahli UPKO dikawasan itu dan kita akan pastikan mereka akan keluar mengundi,” katanya dipetik Bernama.
Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata peluang itu juga akan diambil untuk menjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mengurangkan kekeliruan dalam kalangan rakyat bagi mengekalkan keharmonian yang sedia ada.
Beliau berkata tahun depan adalah cabaran bagi UPKO dalam usaha membantu kerajaan negeri melonjakkan pembangunan dan ekonomi Sabah.
PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.
Kemenangan Anifah di Parlimen itu diisytihar tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.