TETAP TARIKH SERAH KUASA WAJAR DIUSULKAN DALAM KONGRES PKR DI MELAKA INI



PKR adalah parti terbesar dan mempunyai jumlah Ahli Parlimen teramai dalam gabungan PH yang membentuk kerajaan sekarang ini.

Lebih daripada itu, berdasarkan rekod rasmi SPR, yang menang PRU14 adalah juga PKR kerana semua calon PH ketika itu bertanding menggunakan logo dan nama parti tersebut.

Meskipun Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR pada waktu itu pernah ditawarkan oleh Yang Dipertuan Agong untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, tentunya kerana mengikut kefahaman Baginda bahawa yang menang PRU14 ialah PKR, tetapi atas dasar persefahaman dan berpegang pada janji, beliau menolaknya dengan baik.

Akhirnya, sebagaimana konsensus dan persetujuan PH, walaupun terpaksa menunggu agak lama, Pengerusi PH, Tun Mahathir Mohamad telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri.

Berdasarkan konsensus dan persetujuan PH juga, selepas Tun Mahathir, pengisi jawatan Perdana Menteri seterusnya ialah Anwar Ibrahim.

Kemudian apabila Tun Mahathir berjanji untuk memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun saja, pimpinan PH pada waktu itu tidak membantah tempoh yang disebut itu kerana mereka berangggapan proses pembebasan dan pengampunan Anwar mungkin turut memakan masa kira-kira dua tahun juga.

Tetapi, tidak disangka hanya dalam tempoh kira-kira tiga bulan saja Anwar telah dibebas dan diberi pengampunan penuh oleh Yang Dipertuan Agong.

Rentetan itu, Anwar kemudian kembali menjadi Ahli Parlimen dengan memenangi PRK Port Dickson pada 13 Oktober 2018 dengan majoriti 23,560 undi.

Namun, janji tetap janji. Bukan saja janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar yang ditunggu, tetapi juga menunaikannya setelah dua tahun Tun Mahathir berada di jawatan itu.

Walaupun Anwar agak lebih awal dibebaskan dan diberi pengampunan serta kemudian menjadi Ahli Parlimen, janji dua tahun yang pernah dilafazkan oleh Tun Mahathir itu adalah kata-kata yang kotaannya sedang dinanti-nantikan.

Tambahan lagi, yang berjanji itu adalah negarawan yang sudah berusia 94 tahun, bukan budak-budak hingusan yang belum kenal dosa serta pahala.

Maka itu, sesuai dengan semua keadaan itu serta sehingga ini isu peralihan kuasa masih lagi kabur, Kongres Nasional Keadilan di Melaka yang bermula esok mesti membuat suatu ketetapan yang jelas lagi tegas mengenainya.

Sebagai pemegang kerusi majoriti Ahli Parlimen dan parti paling dominan dalam PH, adalah bertepatan buat PKR menaikkan usul dalam kongresnya tahun ini agar isu peralihan jawatan Perdana Menteri ini segera ditetapkan tarikhnya yang khusus.

Dengan itu, usul itu kemudian boleh dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk dibincang dan diputuskan.

Tujuan peralihan kuasa itu ditetapkan tarikh ialah supaya rakyat di bawah tidak lagi dalam kekeliruan dan ketidaktentuan, sementara PH sendiri sebagai kerajaan ada haluan yang jelas dalam tujuan masa depannya.

Selain itu, pentingnya juga tarikh peralihan kuasa ditetapkan ialah untuk mengelakkan pembangkang terus mengambil kesempatan bagi tujuan memecah-belah dan menghuru-harakan PH.

Kongres Nasional Keadilan di Melaka ini paling tepat sebagai medan untuk menamatkan segala kekeliruan, ketidaktentuan dan kegelisahan agar selepas adanya penetapan tarikh khusus berkenaan peralihan kuasa itu, PH boleh terus bergerak ke hadapan dengan lebih meyakinkan di mata rakyat.

Lebih-lebih lagi, setelah berdamainya Azmin Ali dengan Anwar, kepaduan PKR akan tertonjol dengan sendirinya jika usul menetakkan tarikh peralihan kuasa ini diterima sebulat suara dan seterusnya berupaya menjernihkan kekeruhan yang berpanjangan selama ini. (ShahbudinHusin 06/12/2019)