Rakyat marah fitnah terbaru ke atas Anwar
Finah terbaharu melibatkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan rakyat marah kerana skandal yang direkayasa seperti itu tidak sepatutnya berulang dalam Malaysia baharu
Kemarahan rakyat itu bersesuaian dengan satu dapatan kajian yang disiarkan dalam berita televisyen berbahasa Mandarin jam 5 petang pada 5 Disember lalu mendapati 77 peratus responden masih menaruh kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim.
Tinjauan media di sekitar Kuala Lumpur pula pagi ini mendapati rakyat tidak mempercayai Anwar sekali lagi difitnah selepas 20 tahun berlalu.
Menurut Uncle Choy, 78 tahun pemilik kedai menjual ubat tradisional Cina di Kepong Baru, beliau tidak mempercayai skandal membabitkan Anwar sejak 1998 sehinggalah yang terbaharu.
“Ini sudah melampau. Kami rakyat sedang menunggu bulan Mei 2020 untuk Anwar mengambilalih jawatan Perdana Menteri. Perkembangan terkini membuktikan memang ada usaha oleh puak jahat untuk menggagalkan Anwar dan menggagalkan rancangan Malaysia Baru untuk masa depan rakyat dan negara.
“Dengan isu seks tersebut, situasi politik di Malaysia tidak stabil. Siapakah yang mahu perkara ini berlaku?” soalnya
Raju, 25 tahun dan bekerja sebagai mekanik di sebuah kedai membaiki kereta di Kepong berasa kecewa dengan “pihak yang gilakan kuasa” yang cuba menghalang Anwar menjadi PM.
Beliau berpendapat Anwar berkemampuan menarik ramai pelabur asing datang ke Malaysia dan tidak sepatutnya beliau digagalkan sekali lagi menduduki kerusi PM.
“Saya yakin kepada Anwar sahaja. Lain-lain orang tidak mempunyai kebolehan diplomatik seperti Anwar,” tegas Raju.
Seorahg pemandu van, Ramli, 46 tahun yang menyokong PKR sejak tahun 2000 menyatakan kemarahan beliau terhadap keadaan politik di Malaysia hari ini.
“Ini amat merunsingkan. Siapa orang gila dan bodoh yang masih mahu menggunakan taktik yang sama untuk menjatuhkan Anwar? Kami rakyat yang mahukan era Malaysia Baru tidak akan membenarkan perkara seperti ini berlaku lagi.
“Kalau usaha terus dijalankan untuk menjatuhkan Anwar, maka ekonomi negara akan tumbang juga. Sekarang pun kedudukan kewangan dan ekonomi sudah lembab.
“Puak yang gilakan kuasa patut sedar bahawa usaha mereka untuk menjatuhkan Anwar akan menjatuhkan Malaysia pada masa yang sama,” ujar Ramli.