Menjawab teguran ikhlas Kamarul Baharin Abbas




Oleh: Farhan Zulkefly

Membaca kritikan dan teguran "ikhlas" saudara Kamarul Baharin Abbas kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuatkan ramai yang terpesona. Manakan tidak, kalau sebelum ini, kita cuma ada Hishamuddin Rais sahaja yang pandai menulis karya dan artikel dongeng, hari ini seorang lagi Hishamuddin Rais dilahirkan.

Kamarul dalam artikel terbarunya mengkritik Anwar dengan "ikhlas" dan membentangkan "hujah" untuk menguatkan lagi dakwaan beliau bahawa Anwar hari ini adalah Anwar yang lupakan kulit. Adakah ianya benar? Mari kita analisis.

1) Kamarul memulakan artikel dengan memberitahu pembaca bahawa Keadilan yang ditubuhkan pada tahun 1999 kerana kezaliman pada Anwar, akhirnya berjaya menjadi parti yang bercakap soal rakyat. Malangnya, selepas memegang tampuk, yang diperjuangkan cuma isu peralihan kuasa dan bukannya ekonomi rakyat.

-Pandangan "ikhlas" ini cukup baik untuk diteladani, tetapi apa kaitannya dengan Anwar?

Keadilan harus bercakap soal ekonomi? Lihat sahaja ceramah Anwar setiap hari selepas 2018, malah semalam di konvensyen Keadilan Perak juga Anwar menyentuh soal kemiskinan rakyat.

Keadilan harus bantu ekonomi? Itu bukan bidang kuasa Anwar. Itu bidang kuasa Azmin, Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Apa Azmin buat?

Hanya fokus isu peralihan kuasa? Siapa yang sibuk dalam isu ini? Siapa yang adakan pertemuan sulit dengan pimpinan BN baru-baru ini? Sekali lagi, Azmin. Bukan Anwar.

2) Kamarul juga mencadangkan "rakyat mahukan seorang PM yang membawa perpaduan dan kestabilan demi memberi tumpuan pada pembangunan ekonomi".

-Sekali lagi, nasihat ini perlu diamati. Rakyat perlukan pemimpin yang fokus pada perpaduan, dan bukannya hanya bercakap tentang nasib 1 kaum sahaja. Bukan Anwar yang sibuk turun ke Konvensyen Melayu. Itu Azmin.

Yang Anwar perjuangkan sehingga hari ini ialah nasib rakyat semua kaum yang miskin dan ditindas. Mengapa Anwar dipersalahkan?

3) Kamarul juga menyatakan Anwar sering menidakkan perjuangan dan pengorbanan mereka yang berjuang sejak 1998. Contoh yang diberi? Zakaria Hamid.

- Zakaria Hamid dipecat berdasarkan laporan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apakah hanya kerana mereka bersama Keadilan sejak penubuhan, Anwar perlu diam apabila berdepan isu serius seperti ini?

Bercakap soal pejuang lama, bukan Anwar yang menidakkan dan menipu reformis, Jamil Kucing, dalam isu rumah kucing di Selangor suatu ketika dulu. Dijanjikan rumah kucing, akhirnya diberikan tapak itu kepada Parlimen Ampang. Itu bukan Anwar yang lakukan.

Seorang reformis dilayan seperti sampah. Sekali lagi, bukan Anwar yang lakukannya.

4) Kamarul juga menyatakan Anwar sudah lama berniat untuk menyekat kemaraan Azmin. Contohnya dalam isu "Langkah Kajang".

-Tidak pasti pada siapa Kamarul ingin menipu. Mereka yang mengikuti perjalanan politik pasti tahu, sejak awal lagi Langkah Kajang ini dirancang untuk mengangkat Anwar sebagai Menteri Besar Selangor.

Kerana dijatuhkan hukuman, seluruh pimpinan mencadangkan Azizah untuk menjadi MB. Ya, Azmin turut setuju ketika itu. Tapi malangnya, rundingan pintu belakang dibuat oleh Azmin. Bukan Anwar sekat Azmin, tetapi Azmin yang sekat Azizah menjadi MB ketika itu.

Jika Kamarul ingin tahu, itulah sebabnya Azmin digelar "Raja Pintu Belakang" sehingga hari ini (atau mungkin ada sebab kedua yang melibatkan pintu belakang yang lain).

5) Akhir kalam, Kamarul menyatakan Anwar tidak bijak menangani teguran ikhlas.

-Kepada Kamarul, jika ini merupakan teguran ikhlas kamu kepada Anwar, lihat semula konteks kamu. Teguran kamu ini lebih dekat dengan perangai Azmin. Tukar "Anwar" kepada "Azmin" dalam esei panjang kamu, dan ketika itu kamu akan nampak logiknya.

Jangan hanya kerana dendam tidak dipilih sebagai calon Port Dickson dalam PRU ke-14, kamu kecewa hingga ke tahap menjadi "Hishamuddin Rais 2.0".