Pelaksanaan agenda reformasi perlu disemak segera – Kit Siang



Pakatan Harapan (PH) perlu menyemak segera pelaksanaan pembaharuan yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, khususnya yang terkandung dalam Buku Harapan.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata demikian sebagai reaksi terhadap kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada Sabtu lalu.
“Ini akan menjadi agenda pertama DAP dan Pakatan Harapan selepas PRK Tanjong Piai,” katanya.
Calon Barisan Nasional, Wee Jeck Seng menewaskan calon PH, Karmaine Sardini dan empat pencabar lain dengan majoriti 15,086 undi.
Sementara itu, mengulas perkara yang sama, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata PH akan berusaha merapatkan kepemimpinan dalam kalangan parti komponen.
“Keputusan itu juga menuntut kerajaan PH agar terus memperbaiki pemerintahan agar segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan dapat dirasai oleh rakyat.
“Di samping itu, kami juga akan berusaha merapatkan saf kepimpinan antara parti-parti dalam PH dan pada masa yang sama mempergiatkan lagi program-program penerangan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyeru agar PH mengambil pengajaran dan iktibar atas kekalahan tersebut. 
“Kita juga harus berusaha menanam keyakinan rakyat terhadap dasar yang dibawa oleh PH dengan usaha positif melaksanakan janji,” katanya dalam kenyataan. 
Sementara itu, Karmaine seperti dipetik media berkata beliau menerima keputusan yang dibuat rakyat walaupun tidak berpihak kepada PH. 
“Keputusan sudah ada. Saya rasa saya reda dengan apa yang berlaku
“Saya rasa orang Tanjung Piai sudah buat pilihan dan kita kena terimalah,” katanya. –