Penyatuan Melayu ditentukan Cina MCA?
Seronokkah penyatuan Melayu ditentukan oleh Cina MCA. Persoalan ini diutarakan oleh Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berhubung keputusan PRK Tanjung Piai yang menggambarkan pengundi Cina menggunakan kuasa undi merentas blok kepartian demi kepentingan kaum sendiri.
“UMNO dan PAS bergembira dengan kemenangan BN, namun hakikat sebenarnya mereka hanyalah bergembira kerana tempias daripada keputusan para pengundi Cina untuk menyatukan undi bagi calon daripada kaum mereka tanpa mengira parti,” katanya dipetik Ismaweb.
Selain itu, Ustaz Hazizi menyifatkan, kekalahan calon Melayu dalam PRK Parlimen Tanjung Piai menunjukkan orang Melayu masih belum bersedia untuk mengorbankan sentimen kepartian.
“Parti adalah paksi perkiraan mereka, bukan bangsa dan agama, walaupun kaum lain sudah menyatu di belakang perjuangan bangsa dan agama,” katanya.
BN merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berjaya mengumpul majoriti 15,086 undi.
Keputusan rasmi menunjukkan Jeck Seng, 55, mengalahkan calon kerajaan, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas dalam PRK Parlimen Tanjung Piai dengan memperoleh 25,466 undi.
Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, 66, memperoleh 10,380 undi, calon Gerakan, Wendy Subramaniam pula menerima 1,707 undi, manakala calon Berjasa, Prof Datuk Ir Dr Badrulhisham Abd Aziz memperoleh 850 undi.
Sementara itu, dua lagi calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, masing-masing memperoleh 380 dan 32 undi.