Kekaburan peralihan kuasa punca kekalahan di Tg Piai?
Penganalisis politik berpendapat kekalahan 15,000 undi majoriti Pakatan Harapan kepada BN di dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, terutama di kawasan Cina diakibatkan undi protes dan bukannya penolakan tulen ke atas kerajaan memerintah.
Dua penganalisis politik mengaitkan undi protes itu disebabkan pertelagahan berterusan dalam kalangan PH di samping tiadanya tarikh jelas penyerahan kuasa antara perdana menteri Tun Mahathir Mohanad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Hal ini dinyatakan oleh Dr Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya dan Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia yang berkata sekiranya tiada pertelingkahan dalaman, PH akan muncul lebih padu dalam kempen mereka.
Sehubungan itu, Dr Awang Azman menyeru Tun Mahathir menyatakan dengan jelas rancangan penyerahan kuasa bagi menyelesaikan konflik dalaman PH yang menimbulkan ketidakpuasan kalangan akar umbi DAP dan PKR terhadap pengerusi Bersatu itu.
“Sudah tiba masanya Mahathir mengumumkan penyerahan kuasa dengan lebih khusus supaya rakyat lebih bersedia. Melambatkan tarikh penyerahan kuasa akan menyebabkan keraguan timbul dalam kalangan rakyat serta dalam kalangan penyokong PH,” katanya dipetik FMT.
Beliau berkata terdapat persepsi dalam kalangan pengundi Cina bahawa Bersatu cuba mengawal PH walaupun kerusi parti itu tidak banyak dalam gabungan manakala pengundi Melayu berhati-hati terhadap DAP yang semakin banyak memegang pentadbiran kerajaan yang boleh menyebabkan mereka terpinggir.
Azman berkata kemenangan BN menunjukkan muafakat nasional antara Umno dan PAS tidak mengasingkan orang bukan Melayu, bagaimanapun katanya, dinamik politik Malaysia sentiasa berubah dengan masa dan pelbagai situasi.
“Orang Cina tahu kemenangan PRK ini tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri sementara Putrajaya akan kekal di bawah PH. Ini adalah referendum mini orang Cina kepada PH mengenai banyak isu yang mereka tidak puas hati.
“Untuk mengatakan sokongan rakyat beralih kepada pembangkang tidak benar sepenuhnya kerana ia hanya PRK. Tetapi ini adalah amaran awal dan ‘amaran merah’ kepada PH dan perdana menteri untuk melakukan yang lebih baik.”
Sementara Dr Azmi memberitahu PH kehilangan kira-kira 7,000 undi dalam “protes” pengundi. Bilangan undi untuk Wee Jeck Seng hampir sama dengan jumlah yang diperoleh BN dan PAS pada pilihan raya umum tahun lepas.
“Ini dapat dijelaskan oleh jumlah pengundi hanya 73% berbanding 86% pengundi pada tahun lepas. Sebanyak 13% pengundi luar mewakili 7,000 pengundi tambahan, di mana PH kehilangan sebahagian besar sokongan mereka.
“Jika PH tidak membetulkan atau menghentikan perbalahan yang berlaku dalam pandangan umum, maka saya meramalkan kerajaan PH akan menghadapi kemarahan rakyat – dengan atau tanpa pilihan raya kecil.”