LGBT demo kerana kerajaan PH bertegas
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata pendirian tegas kerajaan PH mendorong aktivis LGBT di negara ini mengadakan demonstrasi bagi menyuarakan kemahuan mereka.
Kata timbalan menteri sumber manusia itu, pada era Malaysia ditadbir BN keadaan berkenaan tidak berlaku kerana kerajaan terbabit tidak membuat penegasan mengenainya.
“Sepanjang kita merdeka hampir 62 tahun, tidak pernah terjadi tuntutan terbuka sedemikian.
“Pelik, tapi itulah hakikatnya apabila tiada penegasan dibuat selama ini oleh pihak berwajib,” katanya melalui kenyataan malam tadi.
Sekumpulan aktivis LGBT menyertai himpunan sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada Sabtu lalu.
Ia kemudian mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk beberapa menteri, ahli politik dan mufti.
Aktivis masyarakat, Marina Mahathir, kemudian mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang mengkritik insiden tersebut.
Kata Marina kecaman itu adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada gesaan yang dibuat pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa itu kerana pihak pengkritik hanya memberi tumpuan kepada kehadiran peserta LGBT.
“Anda cuba lari daripada isu wanita yang real dengan menumpukan hanya satu daripada banyak gesaan. Memalukan,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Marina juga mengiringi ciapan itu dengan tanda pagar #Misogyny (sikap prejudis terhadap perempuan).
Kata Mahfuz Perlembagaan Malaysia mengiktiraf hak rakyat di negara ini, namun ia terhad mengikut kerangka budaya, resam serta agama.
“LGBT bukan sahaja bertentangan dengan agama, bahkan ianya bertentangan dengan budaya dan sistem nilai kemanusiaan sama ada di timur mahupun di barat.
“Tidak ada satu agama pun di dunia ini yang mengiktiraf LGBT,” katanya yang juga anggota parlimen Pokok Sena.